Dewan Rakyat tafakur seminit kemangkatan Sultan Ismail Petra, Ahli Parlimen Tanjung Piai

Dewan Rakyat tafakur seminit kemangkatan Sultan Ismail Petra, Ahli Parlimen Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini bertafakur selama seminit bagi memperingati kemangkatan ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan kematian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut meminta wakil rakyat beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah.

Almarhum Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan pada 28 September lalu manakala Dr Md Farid meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Mohamad Ariff berkata, kemangkatan baginda adalah satu kehilangan besar kepada negara. “Bagi pihak Dewan Rakyat, saya ingin mengucapkan takziah kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

“Almarhum memerintah Kelantan bermula 30 Mac 1980 hingga September 2010. Upacara ini hendaklah disimpan dalam arkib Parlimen dan salinannya diserahkan kepada Raja Perempuan Kelantan,” katanya.

Mohamad Ariff berkata, Dewan Rakyat juga berduka cita dengan pemergian Allahyarham Dr Md Farid yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan sentiasa mengambil berat soal rakyat.

“Kami merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham kerana sesungguhnya kehilangan Allahyarham adalam satu kehilangan yang besar kepada negara.

“Saya mengharapkan seluruh keluarga Allahyarham terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )