Dewan Rakyat sentuh krisis jiwa dan mental hari ini

Dewan Rakyat sentuh krisis jiwa dan mental hari ini

KUALA LUMPUR,. Krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat yang tertekan kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan pandemik COVID-19, adalah antara isu dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung usaha kementerian itu menangani krisis tersebut.

Pada sesi sama, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan oleh Dewan Rakyat, seperti dilakukan tahun lalu.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) pula meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini, serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 supaya wabak tersebut tidak menular di pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan apakah peranan kementerian itu dalam membantu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi memastikan inisiatif Pertanian Pintar di agensi tersebut dapat dilaksanakan.

Usai sesi itu, persidangan dewan kemudian diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa melibatkan tiga kementerian mengikut giliran seperti yang dijadualkan.

Mengikut jadual giliran kementerian, perbahasan hari ini akan tertumpu kepada Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Setakat semalam, peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa selepas undi belah bahagian yang dijalankan menyaksikan lebih 100 Ahli Parlimen menyokong berbanding 95 tidak bersetuju.

Proses pengundian bagi JPM dan Kementerian Kewangan itu dijalankan apabila lebih 15 Ahli Parlimen bangun meminta undi belah bahagian dibuat selepas undian mengikut suara.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Dis ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )