Dewan Rakyat lulus RUU Bubar MAVCOM menerusi undi belah bahagian

Dewan Rakyat lulus RUU Bubar MAVCOM menerusi undi belah bahagian

KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang ditubuhkan lapan tahun lepas.

Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 itu diluluskan menerusi undian suara selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Terdahulu, persidangan melaksanakan undian belah bahagian terhadap RUU itu di peringkat jawatankuasa dan ia diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan seramai 93 ahli Dewan Rakyat bersetuju manakala 63 tidak bersetuju dan 66 tidak hadir.

Usul undi belah bahagian dikemukakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan disokong lebih 15 Ahli Parlimen, selepas Loke selesai menggulung RUU itu bagi bacaan kali kedua.

Selaras Peraturan 46 (4) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor yang mempengerusikan sidang ketika itu, mengarahkan loceng dibunyikan selama dua minit bagi membolehkan proses undi belah bahagian dijalankan dan persidangan seterusnya ditangguhkan selama 10 minit.

RUU itu bertujuan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan membubarkan MAVCOM, seterusnya memindahkan segala fungsinya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

MAVCOM yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) sebagai suruhanjaya penerbangan bebas yang bertanggungjawab mengawal selia aspek ekonomi dan komersial industri penerbangan awam serta perlindungan hak pengguna penerbangan di Malaysia, bermatlamat menjadikan industri penerbangan awam negara berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Loke berkata menerusi penggabungan, ia akan menjadikan CAAM sebagai badan kawal selia penerbangan awam tunggal selain menjadi sebuah Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (BBDSB).

Beliau berkata penggabungan itu juga akan membantu dalam soal memperkasakan kebajikan dan penggajian kakitangan MAVCOM dan CAAM.

“Apabila CAAM menjadi satu badan bebas dari segi kewangan dan perjawatan, maka mereka boleh menambah gaji kakitangan dan mengangkat martabat (misalnya) pengawal lalu lintas udara dan semua pegawai teknikal di bawah CAAM.

“Semasa kedua-dua badan ini (MAVCOM dan CAAM) diwujudkan, MAVCOM adalah suruhanjaya iaitu badan berkanun dibebaskan saraan, boleh bayar gaji lebih tinggi mengikut pasaran tapi CAAM tak boleh. Kita gabungkan dua ini sebagai satu, angkat martabat CAAM, tingkat tangga gaji dan keupayaan CAAM sebagai badan berkanun bebas saraan dan badan kawal selia yang baik,” katanya.

Loke berkata buat masa ini, MAVCOM akan terus menjalankan fungsinya seperti biasa sehingga akta bagi membubarkan suruhanjaya itu berkuat kuasa selain menjelaskan pengabungan akan mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.

“Saya berikan kepastian kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, apa yang diuruskan oleh MAVCOM akan diteruskan, tidak bermakna hari ini kita luluskan akta ini (rang undang-undang) esok MAVCOM akan bubar..tidak,” katanya.- BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )