Dewan Rakyat lulus rang undang-undang berkaitan kesalahan menghendap

Dewan Rakyat lulus rang undang-undang berkaitan kesalahan menghendap

KUALA LUMPUR: Individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan menghendap tidak kira lelaki atau wanita kini boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ia selepas Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan menghendap.

Seksyen itu menyebut sesiapa berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata pindaan itu bagi melindungi mangsa kesalahan menghendap, tidak kira wanita mahupun lelaki.

“Hukuman ini memadai sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan bagi rang undang-undang itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai skop tugas penyiasat persendirian mahupun agensi keselamatan yang antaranya perlu menjalankan tugas menghendap, Ramkarpal berkata kesalahan itu diklasifikasikan mengikut beberapa elemen antaranya menyebabkan perasaan takut terhadap seseorang.

“Sekiranya, pihak polis, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pegawai penyiasat menjalankan tugas tanpa pengetahuan siapa mereka siasat dan tiada unsur ketakutan, maka ia bukan tindakan menghendap,” katanya.

Turut diluluskan adalah Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan meminda Jadual Pertama kepada Akta 593 berbangkit daripada kemasukan kesalahan baharu menghendap ke dalam Kanun Keseksaan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )