Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 574, kekang jenayah guna akaun keldai

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 574, kekang jenayah guna akaun keldai

KUALA LUMPUR,. Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) yang antara lain bertujuan mengekang jenayah dalam talian menggunakan akaun keldai bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian, diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang mempengerusikan persidangan berkata rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Cadangan pindaan itu meliputi dua skop utama iaitu peruntukan baharu bagi kesalahan berkaitan akaun keldai serta tafsiran financial instrument dan payment instrument, serta melibatkan pewujuduan empat seksyen baharu.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua berkata jumlah kerugian melibatkan jenayah penipuan dalam talian untuk tempoh kurang tiga tahun adalah sebanyak RM2,651,398,000.34.

Melalui pindaan berkenaan, kerajaan MADANI berharap usaha itu mendapat sokongan bipartisan kedua-dua pihak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat lebih terjamin.

Pada masa ini, beliau berkata perundangan sedia ada tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan bagi tindakan pemilik yang membenarkan akaun milikan mereka digunakan oleh orang lain.

“Disebabkan itu, kelompangan perundangan ini dan juga keperluan mendesak untuk melindungi semua lapisan rakyat Malaysia daripada mangsa jenayah penipuan dalam talian, kerajaan mengemukakan cadangan pindaan kepada Akta 574 bagi membanteras penjenayahan, penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan,” katanya.

Azalina berkata pelbagai usaha telah dijalankan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia untuk mengekang sindiket penipuan dalam talian termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian dan penangkapan, seterusnya menjalankan pendakwaan terhadap pihak yang terlibat.

Katanya, aktiviti penipuan itu yang digerakkan menggunakan akaun keldai bertindak sebagai lubuk atau tempat persinggahan untuk menyimpan wang milik mangsa sebelum berpindah ke akaun lain yang apabila disiasat mendapati akaun terbabit telah disewa atau diberikan akses kepada orang lain secara sukarela atau sebaliknya.

“Tambahan pula, perkara yang menyukarkan pihak berkuasa dalam proses penyiasatan ialah pemilik akaun ini kebiasaannya tidak mengenali pihak ketiga yang telah menyalahgunakan akaun bank mereka sebagai medium transit wang mangsa,” katanya.

Persidangan Dewan bersambung hari ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )