Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024

Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024

KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Negara semalam, meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024.

RUU itu, yang bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Terdahulu, Gobind ketika menggulung perbahasan berkata pelaksanaan RUU itu dapat membantu kerajaan memastikan kebolehlaksanaan dan kecekapan fungsi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) dalam menangani insiden keselamatan siber.

Beliau berkata RUU itu sangat penting kerana CNII merangkumi sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat, komunikasi dan digital yang lazimnya menjadi sasaran serangan siber bagi melumpuhkan kerajaan.

Turut tersenarai sektor perkhidmatan jagaan kesihatan, air dan pembentungan, pengurusan sisa, tenaga, pertanian dan perladangan, perdagangan industri dan ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi.

“Ini adalah sektor-sektor yang kita lihat menjadi sektor yang sangat penting dan sekiranya terdapat ancaman siber, sekiranya berjaya, ia boleh mendatangkan kesan yang sangat memudaratkan kepada negara.

“Jadi perlu untuk kami melihat bagaimana untuk mewujudkan satu undang-undang supaya kita boleh mengambil langkah-langkah untuk pastikan bahawa entiti-entiti (CNII) ini bersiap siaga, faham akan risiko dan bagaimana melaksanakannya,” kata beliau.

Gobind turut memaklumkan RUU itu akan menggunakan pendekatan berasaskan penilaian risiko dan menentukan kawalan perlindungan terhadap sebarang teknologi yang akan digunakan kelak.

“Sememangnya (teknologi) blok rantai memberi keupayaan untuk mengesahkan rekod, data dan transaksi namun wujud ancaman keselamatan siber dalam teknologi itu.

“Jadi kita kena berhati-hati,” katanya.

RUU itu diluluskan Dewan Rakyat pada 27 Mac lepas.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )