Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan diperkenal melalui RMK12

Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan diperkenal melalui RMK12

KUALA LUMPUR,. Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal kerajaan bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif bagi tempoh 2021-2025 itu termasuk penambahbaikan kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan selain melibatkan usaha mempertingkatkan ketenteraman awam.

“Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia.

“Ia juga merangkumi inisiatif pengukuhan keselamatan dan pertahanan siber selain menjaga kebajikan anggota,” katanya semasa membentangkan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata langkah lebih tegas turut akan dilambil kerajaan untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuh Operasi Benteng (Op Benteng) bagi usaha mengekang pendatang tanpa izin.

Dalam tempoh lima tahun mendatang, Ismail Sabri berkata pelbagai projek termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu di Sarawak akan dilaksana.

“Ia juga meliputi pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak di Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim,” katanya.

Beliau berkata kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMK12.

“Kerajaan turut menjamin kebajikan anggota tentera dan penguat kuasa terbela dengan penyediaan 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters yang sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK12,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )