Dasar gaji progresif, TVET dan kerosakan jalan raya antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Dasar gaji progresif, TVET dan kerosakan jalan raya antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR,. Dasar gaji progresif bagi mereformasi pasaran buruh dengan meningkatkan gaji pekerja agar selari dengan peningkatan produktiviti pekerja sektor swasta menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) kepada Menteri Ekonomi dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) pula akan bertanya kepada Menteri Kerja Raya mengenai langkah drastik yang boleh diambil bagi menangani masalah jalan raya rosak dan berlubang terutama di Pahang kerana ia seperti tidak berkesudahan hingga mengakibatkan banyak kenderaan rosak serta terlibat kemalangan.

Pada sesi sama, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sama ada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bersedia menawarkan bantuan pinjaman kepada pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ingin menyertai latihan peningkatan kemahiran jangka masa pendek, seterusnya mendapat Professional Skill Certificate dari badan profesional tempatan atau institusi TVET luar negara.

Selesai sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan menyambung penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2023.

Turut disenarai dalam aturan mesyuarat itu ialah pembentangan bacaan kali kedua RUU Polis (Pindaan) 2024, RUU Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 dan RUU Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )