COVID-19: Perdana Menteri dijangka umum Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini

COVID-19: Perdana Menteri dijangka umum Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini

KUALA LUMPUR,. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April, hari ini memasuki hari ke-10 dan tumpuan pasti tertumpu kepada pengumuman pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19.

Malah pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijangka memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial dua hari lepas, Muhyiddin berkata menerusi pakej itu, semua lapisan masyarakat di negara ini tidak akan dipinggirkan.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual pisang goreng, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat,” kata Perdana Menteri.

Tambahnya, menyedari amanah yang dipikul sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat, beliau akan melaksanakan tugas dengan baik.

Sementara itu, masih ada segelintir masyarakat yang jelas masih ingkar dengan arahan berkenaan dan kerana itu kerajaan dilihat tidak lagi akan berkompromi terhadap golongan ini dengan memberi amaran bahawa tindakan tegas serta kawalan lebih ketat akan dilaksanakan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKP bertujuan memperketatkan lagi termasuk kemungkinan mewujudkan lebih banyak sekatan merangkumi pergerakan orang ramai dalam membuat pembelian barangan dan makanan harian.

Bagi mengurangkan penyebaran COVID-19, pihak berkuasa juga akan lebih tegas dan tidak akan teragak-agak mengenakan hukuman ke atas mereka yang masih berdegil.

Ini terbukti dengan 110 tangkapan ke atas individu yang tidak mematuhi PKP sepanjang tempoh tujuh hari pelaksanaan arahan itu sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Tindakan dilakukan itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mengekang penyebaran wabak ini yang tidak mengenal mangsa.

Pilihan kini di tangan rakyat negara ini, tidak kira walau di mana mereka berada, sekiranya mahu memastikan diri sendiri serta keluarga bebas daripada jangkitan COVID-19.

Sebanyak 235 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 2,031 kes, manakala kematian akibat wabak itu berjumlah 23 orang.

Sementara itu, menurut Kementerian Luar seramai 2,982 warganegara Malaysia masih terkandas di 55 negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan negara-negara mereka berada susulan penularan wabak COVID-19.

Sehingga kini, seramai 2,417 rakyat Malaysia dari 26 negara telah dibawa pulang ke tanah air.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )