COVID-19: 601 kes positif babit warga asing dikesan setakat ini

COVID-19: 601 kes positif babit warga asing dikesan setakat ini

PUTRAJAYA, 17 April — Sebanyak 601 kes positif COVID-19 melibatkan warga asing dikesan setakat ini di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 356 kes sedang dirawat, 242 kes telah pulih dan tiga kes kematian dilaporkan.

Jumlah itu, katanya, termasuk kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka dengan warganegara utama yang dikesan ialah Indonesia (108); Filipina (104); Bangladesh (63); India (60); dan Pakistan (51).

“Terdapat peningkatan kes COVID-19 di Singapura yang dikaitkan dengan penularan COVID-19 di asrama pekerja, ini dilaporkan telah menyumbang kepada lebih daripada 50 peratus keseluruhan kes positif COVID-19 di negara tersebut.

“Mengambil iktibar daripada situasi ini, dan memandangkan Malaysia juga mempunyai ramai pekerja asing, langkah-langkah perlu diambil bagi mencegah penularan COVID-19 khususnya di kalangan warga asing,” jelas Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu juga, beliau menegaskan majikan yang menggunakan tenaga kerja, khususnya warga asing bertanggungjawab memastikan langkah pencegahan dilaksanakan.

Ini termasuk amalan jarak sosial selamat dengan mengelakkan pekerja berkumpul di ruang sempit, mengelakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa dan pengamalan jarak satu meter semasa bercakap, katanya.

“Sekiranya tempat tinggal disediakan, langkah-langkah pencegahan terutamanya amalan jarak sosial selamat dan kebersihan tangan dan diri perlu ditekankan.

“Pekerja-pekerja yang mempunyai kediaman sendiri juga perlu mematuhi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan tersebut di samping mengambil inisiatif sendiri untuk kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan rumah tempat kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan KKM turut menggembleng tenaga bersama Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut termasuk dalam aktiviti pencegahan dan kawalan oleh kerajaan.

“KKM juga bekerjasama dengan kedutaan negara-negara berkenaan di Malaysia dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dalam usaha penyebaran dan penyampaian maklumat kepada warga asing di Malaysia dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Fokus Kebangsaan (NFP) Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) daripada negara-negara berkaitan juga akan dimaklumkan mengenai kes-kes positif COVID-19 di kalangan warga asing di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )