Caj Navigasi Udara dinaikkan tahun depan, tingkat pendapatan CAAM untuk sokong operasi

Caj Navigasi Udara dinaikkan tahun depan, tingkat pendapatan CAAM untuk sokong operasi

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang mengkaji kadar baharu Caj Navigasi Udara yang akan dinaikkan berkuat kuasa tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata Caj Navigasi Udara akan dikenakan kepada mana-mana pesawat yang melalui ruang udara negara.

Katanya langkah itu juga akan melonjakkan pendapatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang akan menjadi badan kawal selia tunggal industri penerbangan awam di Malaysia dan membolehkannya membiayai operasinya sendiri tanpa suntikan dana kerajaan.

“Ini akan memberikan satu peningkatan pendapatan yang besar kepada CAAM dan kita mampu untuk membayar kadar gaji yang lebih tinggi kepada kakitangan kita.

“Ini kerana banyak pesawat antarabangsa terutamanya ke Lapangan Terbang Changi di Singapura yang melalui ruang udara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat di sini.

Rang undang-undang itu telah diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan semalam.

Mengenai MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), katanya masih tiada syarikat yang bersetuju untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu walaupun beberapa rundingan telah diadakan.

Katanya MOT meletakkan syarat kepada syarikat yang berminat untuk mengambil alih lesen MYAirline dengan menyelesaikan tuntutan bayaran balik penumpang.

“Malangnya, tiada satu pun syarikat yang berjaya atau berminat untuk mengambil alih MYAirline. Pada masa ini, kita sedang melihat bagaimana untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan syarikat atau lembaga pengarahnya untuk mereka bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh penumpang,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )