
Cadangan kurangkan kapasiti banduan di penjara dipersetujui
KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Bersama Kesejahteraan Rakyat bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan jumlah kapasiti banduan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam penjara.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu diputuskan selepas mesyuarat kali kedua jawatankuasa itu yang turut disertai Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.
Katanya, beliau dimaklumkan ketika ini penjara telah melebihi kapasiti sehingga berlaku kesesakan.
“Menteri KDN berkata sekitar 11,000 pendatang tanpa izin akan dihantar pulang dalam tempoh yang kementerian itu tentukan pada tahun depan.
“Sejumlah 10,000 banduan yang menjalani hukuman tidak lebih tiga tahun pula dihantar ke pusat-pusat pemulihan untuk menjalani latihan dalam bidang seperti pembinaan, pertukangan dan perladangan atau sektor 3D dengan dukungan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di bangunan Parlimen.
Bagaimanapun, Rais berkata perkara itu melibatkan peruntukan dan prosedur undang-undang sedia ada yang perlu ditambah baik.
“Jawatankuasa ini mencadangkan mana-mana prosedur yang sudah lapuk diselesaikan dan ditiadakan, jadi ini perlu tindakan legislatif atau pindaan kepada undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, segala cadangan itu perlu diperhalusi pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.
Pada 10 Disember lepas, Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam menangani penularan COVID-19 di penjara.
— Bernama