Berita baik untuk negara pengeluar minyak sawit apabila Perancis tangguh tamatkan manfaat cukai minyak sawit

Berita baik untuk negara pengeluar minyak sawit apabila Perancis tangguh tamatkan manfaat cukai minyak sawit

KUALA LUMPUR,. Langkah Perancis menangguhkan sehingga 2026 untuk menamatkan manfaat cukai ke atas minyak sawit yang sepatutnya berakhir tahun depan, merupakan berita gembira kepada negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

“Ini memberi lebih banyak ruang kepada kita, sebagai negara pengeluar, untuk bersedia menghadapi penarikan balik insentif ke atas bio bahan api selain memberi peluang untuk kita bersiap sedia untuk masa hadapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Reuters yang memetik laporan parlimen melaporkan bahawa Parlimen Perancis meluluskan pindaan yang melewatkan pemansuhan manfaat cukai ke atas minyak sawit sehingga 2026, yang bertujuan memberikan tempoh peralihan yang mencukupi kepada syarikat-syarikat Perancis membuat persediaan sebelum berakhirnya penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api.

Undang-undang untuk mengeluarkan minyak sawit daripada senarai biobahan api itu sepatutnya berkuat kuasa mulai Januari 2020.

Laporan itu menyatakan bahawa langkah tersebut boleh memberi manfaat kepada syarikat minyak Perancis, Total, yang telah melabur 300 juta euro (RM1.37 bilion) untuk menukar tapak La Mede daripada kilang minyak mentah kepada loji biobahan api, yang memulakan pengeluaran pada Julai. Syarikat itu menggunakan minyak sawit sebagai sebahagian daripada stok makanan untuk menghasilkan biobahan api, katanya.

Walaupun ini masih di peringkat awal, Malaysia melihat langkah itu secara positif, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Dr Kalyana Sundram.

“Kami melihatnya secara positif. Jika tidak, pada Januari 2020 minyak sawit tidak lagi dibenarkan dalam sistem biobahan api Perancis,” katanya, sambil menambah bahawa langkah oleh Perancis itu juga merupakan hasil daripada rundingan dua hala yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Industri Utama (MPI).

Bulan lepas, Ketua Setiausaha MPI, Datuk Dr Tan Yew Chong mengetuai kementerian dan MPOC mengadakan mesyuarat dua hala di Paris dengan inisiatif dan usaha berterusan Malaysia terutama dalam industri minyak sawit, diketengahkan.

“Ia merupakan perbincangan yang sangat baik, dan saya percaya ia telah menyumbang kepada keputusan itu (diambil oleh Perancis),” katanya.

Tan berkata MPI akan terus berhubung dengan Perancis berhubung isu minyak sawit, katanya.

Ini merupakan minggu yang baik untuk minyak sawit memandangkan semalam Malaysia menandatangani perkongsian minyak sawit utama dengan dua pengurus rantaian bekalan utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China untuk memudahkan penembusan minyak sawit yang lebih besar di China, India dan benua India.

Perjanjian itu dimeteraikan menerusi platform Bursa Komoditi Bohai (BOCE) Malaysia/ASEAN, menerusi dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Hakan Agro DMCC dan BOCE Global China.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU, Kok berkata Hakan Agro, dengan pendedahan perniagaan yang luas di benua India, Timur Tengah dan UAE, akan memudahkan eksport lebih satu juta tan metrik minyak sawit Malaysia di pasaran teras mereka benua kecil India pada 2020.

Sementara itu, BOCE Global berhasrat mengimport kira-kira 1.5 juta metrik tan minyak sawit ke China menjelang 2020, katanya.

“Mereka menyasarkan wilayah pedalaman China yang kurang terdedah kepada minyak sawit, namun menawarkan potensi pertumbuhan yang ketara berikutan jumlah penduduk yang besar dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang ketara,” kata Kok.

— BERNAMA

Laporan Khas Oleh M.Saraswathi & Nurul Jannah Kamaruddin

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )