
Belia luar bandar Sarawak diperkasa, kebolehpasaran cecah 95 peratus
KUALA LUMPUR,. Kerajaan memperkukuh agenda pemerkasaan belia luar bandar di Sarawak melalui latihan kemahiran, keusahawanan dan pendidikan teknikal dengan kadar kebolehpasaran mencecah 95 peratus bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi penekanan serius terhadap pembangunan belia luar bandar selaras aspirasi dasar pembangunan luar bandar, termasuk menyediakan latihan, bimbingan perniagaan, skim pembiayaan dan akses pasaran melalui agensi di bawah kementerian berkenaan.
“Sebagai contoh, melalui pelaksanaan program seperti Start Right 2.0 bagi membantu golongan sasar melalui pendedahan awal untuk menjadi usahawan dan seterusnya memberi peluang kepada belia luar bandar berkemahiran berkecimpung dalam dunia keusahawanan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang bertanyakan langkah kerajaan dalam memperkasa belia di luar bandar di Sarawak termasuk di Parlimen Igan melalui program latihan kemahiran, keusahawanan dan pertanian moden bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan mereka.
–BERNAMA

