Belia berbakat industri kreatif dicadang diiktiraf ‘Ikon MADANI Muda’

Belia berbakat industri kreatif dicadang diiktiraf ‘Ikon MADANI Muda’

KUALA LUMPUR,. Seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf belia berbakat dalam sektor industri kreatif digital sebagai ‘Ikon MADANI Muda’.

Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), berkata dengan adanya ikon-ikon muda, ia akan memberi cerminan bahawa orang muda profesional mampu memecah tembok viraliti perniagaan berpaksikan ilmu dan adab yang seiring, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pembangunan negara.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan dana sejumlah RM346 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.

“…kreativiti tinggi yang dimiliki boleh menyumbang kepada pendapatan yang lumayan, lebih-lebih lagi pada masa ini apabila ramai anak muda mendapat manfaat daripada platform digital untuk menjana pendapatan,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Selain itu beliau turut menyarankan kepada kerajaan supaya meneroka pelaburan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dengan lebih agresif memandangkan minat golongan muda ketika ini yang lebih cenderung kepada bidang itu.

“Mahu atau tidak, kita harus mengakui bahawa begitu banyak ekonomi masa hadapan yang bergantung kepada bidang ini. Kalau Intel Corporation sudah berada di Malaysia sejak 1972, saya percaya kerajaan juga mampu membawa syarikat AI yang paling berkuasa NVIDIA melabur di Malaysia,” katanya.

Turut menyentuh mengenai belia dalam perbahasan usul itu ialah Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang berharap kerajaan tidak terlepas pandang mengenai isu produktiviti negara membabitkan golongan belia akibat daripada trend lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi yang dilihat sebagai membimbangkan.

“…statistik yang disiarkan dalam sistem e-Profile Kerjaya Murid menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 murid lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 murid lepasan SPM 2021 tidak melanjutkan pelajaran.

“Jabatan Perangkaan turut menjangkakan sekiranya trend lepasan SPM tidak melanjutkan pengajian (berterusan) negara akan kehilangan 70 peratus daripada pekerja berkemahiran.

“Fenomena ini akan mengakibatkan implikasi serius terhadap perkembangan individu dan negara serta potensi berlakunya pembaziran bakat,” katanya.

Beliau berkata perkara itu adalah tidak sihat selain negara akan memperoleh generasi yang rendah tahap pendidikan dan kemahiran, sekali gus tidak sesuai untuk melaksanakan rancangan pembangunan seperti yang digariskan dalam KSP RMK12.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )