Belanjawan 2020: Perkeso sambut baik i-Suri dan SKSPS dilanjutkan

Belanjawan 2020: Perkeso sambut baik i-Suri dan SKSPS dilanjutkan

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengalu-alukan keputusan kerajaan memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) seperti yang dibentang dalam Belanjawan 2020.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ia akan membolehkan Perkeso meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan yang belum dilindungi dan memastikan mereka mendapat perlindungan minimum.

“Perkeso berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi fokus kepada keselamatan sosial rakyat dalam belanjawan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat Jumaat lepas berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Perkeso untuk memanjangkan manfaat i-Suri pada tahun hadapan.

i-Suri diperkenal pada 15 Ogos tahun lepas bertujuan memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.

Lim juga berkata SKSPS turut akan diperluas bagi membolehkan 18 kumpulan yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian mencarum dalam skim itu mulai tahun depan.

SKSPS diwujudkan pada Jun 2017 untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan sebagai permulaan skim itu diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing (perkhidmatan pengangkutan penumpang) dan pemandu bas.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata Perkeso sedang bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan memberi perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri seperti golongan yang menggunakan platform ekonomi gig.

“Ini termasuk perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda, GrabFood, dan mungkin Gojek sekiranya perkhidmatan itu beroperasi di Malaysia.

“Oleh itu, Perkeso mengambil langkah yang perlu untuk merealisasikan hasrat kerajaan melebarkan jaringan keselamatan sosial kepada lebih ramai rakyat di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )