Belanjawan 2020 menyeluruh dan komprehensif – MB N.Sembilan

Belanjawan 2020 menyeluruh dan komprehensif – MB N.Sembilan

SEREMBAN,. Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini sebagai belanjawan menyeluruh dan komprehensif yang meliputi segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata pengumuman pelbagai insentif khususnya kepada mereka yang susah, menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan selain pelbagai insentif lain dalam usaha membina semula negara.

“Ia meliputi petani, nelayan, orang di Felda, Risda, Felcra dan semuanya mendapat nikmat daripada belanjawan itu. Tak lupa juga di kampung, bandar dan desa, semua mendapat nikmat dan yang penting penjawat awam juga mendapat nikmat.

“Pendidikan juga kita nampak menjadi teras kepada belanjawan itu dan kita melihat inilah bajet yang komprehensif yang mana mereka yang susah diberikan keutamaan dengan penambahan insentif dan bilangan yang menerima juga meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menteri Besar berkata apa yang dibentangkan kerajaan dalam belanjawan yang bertemakan ’Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’ itu bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat bahkan diyakini dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Aminuddin berkata mengenai Belanjawan Negeri Sembilan yang akan dibentangkan pada 22 Nov ini, katanya kerajaan negeri memberi fokus kepada perkembangan ekonomi, selain pelbagai insentif lain yang dapat membantu memacu pertumbuhan negeri.

“Contohnya, insentif yang akan membangunkan lagi usahawan kita disamping memberi bantuan kepada kumpulan sasar.

Ini adalah antara insentif yang akan kita fikirkan dan saya harap ia akan dapat meringankan sedikit masalah rakyat,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan komited dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )