Bekalan vaksin, tumpuan hari terakhir Dewan Rakyat

Bekalan vaksin, tumpuan hari terakhir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Perihal berkaitan bekalan vaksin COVID-19 dari syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer, antara tumpuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung kos, keberkesanan, dan liputan vaksin, khususnya tempoh imuniti serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu.

Guan Eng turut meminta penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer berbanding syarikat vaksin lain, termasuk di Amerika Syarikat, China dan Rusia, serta perbandingan kos dan keberkesanan vaksin mereka.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula minta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19, susulan pembukaan sektor ekonomi.

Selesai sesi itu, tumpuan akan beralih kepada Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 bagi bacaan kali yang kedua.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 29 hari sejak 2 Nov lepas, akan berakhir hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )