Bantuan tangani situasi sukar
KUALA LUMPUR,. Tindakan drastik demi mendepani situasi sukar, jelas menjadi fokus kerajaan apabila mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) terbesar dalam sejarah membabitkan peruntukan RM250 bilion, semalam.
Nilai pakej PRIHATIN, kira-kira 18 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu hampir setara belanjawan tahunan Malaysia, misalnya Belanjawan 2020 yang berjumlah RM297 bilion.
Difahamkan, jika proses merangka belanjawan tahunan negara mengambil masa 10 bulan, namun pakej rangsangan kecemasan ini dirangka dalam tempoh kurang seminggu.
Daripada jumlah keseluruhan RM250 bilion itu, RM128 bilion adalah untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Baki RM20 bilion lagi adalah jumlah yang diumumkan dalam pakej rangsangan yang dibentangkan pada 27 Februari lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentangkan pakej itu berkata ia menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung semua lapisan rakyat.
“Sama ada, anda nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau tamu di Kundasang. Anda semua menikmati manfaat daripada pakej rangsangan peduli rakyat ini.
“Tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” kata Perdana Menteri.
Muhyiddin menegaskan, pakej PRIHATIN adalah manifestasi kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan rakyat.
Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini.
Strategi dan langkah yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.
Kerajaan akan memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi, manakala ia dilaksanakan secara sekali sahaja atau one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana.
Pakej PRIHATIN menyaksikan pemberian tunai yang besar kepada golongan B40, dan kali pertama kepada M40, subsidi upah serta langkah merangsang dan membantu perniagaan.
Pakej ini juga akan dijayakan dengan sokongan banyak pihak, termasuk pelbagai agensi kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sebahagian besar ahli ekonomi dan penganalisis menyifatkan Pakej PRIHATIN ini adalah besar dan komprehensif.
Susulan itu, adalah penting memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 kerana jika sekatan berkenaan lebih cepat ditamatkan, maka ia adalah amat baik untuk ekonomi negara.
Seperti dijangka selain rakyat biasa, fokus diberikan kepada petugas, kementerian dan agensi barisan hadapan yang terbabit dalam mendepani wabak COVID-19.
Untuk itu, kerajaan mengumumkan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, peruntukan tambahan RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.
Turut dihargai pengorbanan kakitangan kesihatan, anggota tentera, polis, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain prihatin dengan beban rakyat, kerajaan juga menyedari pemberian tunai akan memberi kesan langsung meningkatkan penggunaan swasta dan perniagaan, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi.
Untuk itu, kerajaan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara sekali sahaja atau one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.
Ia merangkumi bantuan untuk untuk pelajar institusi pengajian tinggi, warga emas, pemandu e-hailing, orang kurang upaya, golongan gelandangan dan orang asal.
Turut dibantu 1.5 juta kakitangan awam dan 850,000 pesara kerajaan, individu bujang hingga penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam.
Menyedari perniagaan, khususnya PKS yang berjumlah 750,000 adalah tunjang kepada ekonomi, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan untuk membolehkan mereka kekal bertahan dengan meningkatkan aliran tunai, termasuk memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 15 April depan.
Perkhidmatan itu merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan yang dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan dianggarkan RM10 bilion, sekaligus memberi manfaat kepada lapan juta pekerja.
Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka, selain menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan GLC memberi pengecualian sama.
Bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia, kerajaan bersama Tenaga Nasional Bhd menambah peruntukan RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.
Sementara itu, bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, antaranya pakej khas internet percuma kepada semua pelanggan bermula 1 April 2020 sehingga tempoh PKP tamat.
Bagi membolehkan syarikat terus mengekalkan pekerja mereka, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah.
“Dalam keadaan sukar ini, saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan.
“Menerusi program ini kerajaan menyediakan upah RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan,” katanya dengan syarat majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji, selain daripada tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada pekerja,” katanya.
Langkah itu dijangka memanfaatkan 3.3 juta pekerja dengan peruntukan RM5.9 bilion.
Bagi memudahkan orang awam memahami pelbagai bantuan rakyat yang diumumkan, Muhyiddin menggunakan analogi ‘Makcik Kiah’, penjual goreng pisang yang tinggal di PPR Desa Tun Razak, suaminya seorang pesara kerajaan yang sekarang memandu Grab, manakala anak mereka peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dengan pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan, namun selepas mendapat pelbagai bantuan melalui pakej PRIHATIN, jumlah keseluruhan nilai manfaat dan penjimatan diterima keluarga Makcik Kiah berjumlah RM7,864.
Ahli Ekonomi, Dr Zulkiply Omar, berkata kesimpulan boleh dibuat daripada pakej rangsangan kali ini adalah ia meliputi penjanaan penggunaan swasta dan awam dengan galakan perniagaan berbentuk sampingan.
“Langkah ini memberikan kesan pengganda yang baik, lantas menjana pertumbuhan ekonomi. Pelaburan kerajaan pula meningkat kapasiti pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata sekiranya kerajaan tidak mengadakan pakej rangsangan ini dan terlalu berhati-hati tidak mahu mengambil risiko supaya defisit kerajaan tidak bertambah, kemungkinan keadaan akan menjadi lebih teruk.
“Ini bukan masalah khusus kepada ekonomi sahaja, tetapi ia gabungan beberapa perkara lain iaitu kesihatan dan politik.
“Sebagai negara ekonomi terbuka dengan 131 peratus perdagangan antarabangsa mempengaruhi KDNK, pasti Malaysia amat terjejas dengannya.
“Kita boleh lihat apa yang berlaku kepada negara ketika kemelesetan melanda negara pada 1986, 1998, 2000 dan 2008. Berapa ramai hilang pekerjaan dan syarikat yang muflis,” katanya.