Bantuan COVID-19: ‘Missing Link’ antara ADUN UMNO dan MPKK – MB Terengganu

Bantuan COVID-19: ‘Missing Link’ antara ADUN UMNO dan MPKK – MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 April — Missing link di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Terengganu menjadi penyebab timbulnya isu dakwaan ketidakadilan dalam pengagihan bantuan COVID-19.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang diamalkan kini merupakan model jawatankuasa MPKK sebelum pembentukan muafakat politik iaitu antara PAS, UMNO dan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengagih bantuan itu menerusi agensi rasmi kerajaan iaitu Pusat Khidmat DUN dan MPKK yang paling hampir dengan rakyat dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan mereka.

“Arahan khusus diberikan pada MPKK supaya berlaku adil…bagaimanapun, memahami keperluan dan tugasan yang perlu dijalankan oleh ADUN maka kerajaan negeri turut menyalurkan sebahagian bantuan COVID-19 sejumlah RM45,000 kepada ADUN BN di negeri Terengganu untuk diuruskan.

“Sekali imbas cara yang paling ideal adalah bantuan diberikan secara sama rata pada semua ADUN, namun, terdapat missing link pada waktu ini antara ADUN BN dengan MPKK,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendakwa kesemua 10 ADUN UMNO di Terengganu hanya diberi peruntukan sebanyak RM45,000 berbanding 22 ADUN PAS yang menerima peruntukan sebanyak RM350,000 untuk membantu rakyat yang terjejas.

Sementara itu, penyelaras DUN di 10 kawasan milik UMNO pula menerima peruntukan sebanyak RM305,000.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu meluahkan kekecewaannya itu kerana peruntukan sepatutnya diberi secara adil sepertimana yang dilakukan kerajaan negeri Perlis dan Pahang dalam menterjemahkan semangat setiakawan parti politik di bawah PN.

Ahmad Samsuri berkata beliau yakin bahawa sekiranya berlaku penambahbaikan pada komposisi MPKK itu dengan mengambil kira wakil yang berbagai dalam masyarakat dan muafakat politik baharu di peringkat nasional, keadaan baharu yang lebih inklusif boleh diurus supaya menjadi lebih baik dan harmoni di masa depan.

“Insya-Allah dengan pendekatan yang cermat, dan penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat dan pimpinan parti-parti politik, kita mampu untuk mencapainya di negeri Terengganu,” katanya.

Tambah beliau terdapat dua perkara yang berkait dengan penyampaian bantuan tersebut iaitu mestilah disampaikan pada rakyat yang memerlukan, tanpa mengira warna politik mereka dan kaedah penyampaian disampaikan mesti berkesan, perlu segera dalam suasana batasan pergerakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 23 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk setiap negeri bagi membantu golongan yang terjejas sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

— BERNAMA

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )