
Azhar, Azalina kekal sebagai Speaker, Timbalan Speaker Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR,. Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing kekal sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pelantikan mereka adalah sah.
Ia susulan keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang membenarkan permohonan Azhar, Azalina dan dua yang lain untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi individu untuk mencabar kesahihan pelantikan mereka.
Ahmad Kamal berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua plaintif dan defendan, beliau mendapati bahawa pelantikan Azhar dan Azalina adalah sah dan tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah.
“Permohonan defendan pertama (Azhar), kedua (Azalina), ketiga (Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon) dan keempat (Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin) untuk membatalkan saman pemula dibenarkan.
“Berikutan keputusan itu mahkamah tidak menetapkan sebarang kos selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan itu adalah melibatkan kepentingan awam,” katanya.
Ahmad Kamal dalam penghakimannya berkata pada pandangannya permohonan saman dan bukti afidavit menunjukkan bahawa Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah digugurkan daripada jawatannya sebagai Speaker dengan keputusan dan usul yang dibuat oleh Dewan Rakyat.
“Pada peringkat lain persidangan Dewan Rakyat pada hari itu Azhar dan Azalina terpilih menjadi Speaker dan Timbalan Speaker melalui usul yang dibawa dan disahkan oleh Dewan Rakyat,” katanya.
Hakim itu berkata bahawa artikel 57 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa Parlimenlah yang menentukan penyingkiran dan pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker.
“Saya berpandangan bahawa segala isu atau permasalahan yang berkaitan dengan pemecatan dan pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker harus diteliti, dibahas dan diselesaikan di Parlimen. Parlimen mempunyai bidang kuasa eksklusif berhubung perkara itu dan ia mempunyai hak mutlak untuk mengawal prosiding sendiri.
“Sesungguhnya keputusan Parlimen pada 13 Julai 2020 untuk menggugurkan Tan Sri Ariff sebagai Speaker dan melantik Azhar dan Azalina sebagai Speaker dan Timbalan Speaker baharu adalah muktamad,” katanya.
Dalam penghakiman setebal 39 halaman itu, hakim berkata oleh kerana isu berkenaan telah ditentukan oleh Parlimen pada 13 Julai 2020, mahkamah tidak dibenarkan mempersoalkan kesahihan proses tersebut berdasarkan Artikel 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Kamal berkata bahawa defendan pertama dan kedua menjadi calon tunggal yang pencalonannya dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4 (1) dan 6 (2) Dewan Rakyat hendaklah diisytiharkan tanpa persoalan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4 (3).
“Oleh itu, keputusan defendan ketiga (Mohd Rashid) untuk mengisytiharkan defendan pertama sebagai Speaker dan keputusan defendan pertama untuk mengisytiharkan defendan kedua sebagai Timbalan Speaker tanpa perbahasan adalah sah,” katanya.
Ahmad Kamal berkata setelah mempertimbangkan pengakuan plaintif, afidavit dan hujahan kedua-dua belah pihak dan setelah mempertimbangkan perkara itu dengan teliti, beliau berpendapat bahawa kes itu termasuk dalam kategori kes biasa dan jelas.
“Saman pemula ini adalah remeh dan menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah. Tindakan itu tidak mempunyai prospek untuk berjaya,” katanya.
Pada 23 Julai lepas, Dr Mahathir, anak lelakinya Datuk Seri Mukhriz, yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah, bersama bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina bagi kedua-dua jawatan itu.
Peguam Amer Hamzah Arshad dan Tania Scivetti mewakili defendan manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak Dr Mahathir dan empat yang lain.
Amer Hamzah berkata berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, tidak ada persoalan mengenai pelantikan Azhar dan Azalina.
“Mereka kini boleh merasa lega, pelantikan mereka adalah sah. Mahkamah telah dengan jelas menetapkan prinsip undang-undang dan tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana mana pihak,” kata Amer Hamzah.
Sementara itu, peguam Azalina dan Nizam Mydin dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah telah memperkuat doktrin pemisahan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan dan memperkukuh tugas mahkamah untuk mendukung perlembagaan.
“Keputusan hari ini memperkukuh doktrin pemisahan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu juga memperkuatkan peranan terpenting kehakiman, iaitu untuk melindungi ketuanan Perlembagaan Persekutuan kita,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA