Angkasa cungkil bakat usahawan muda melalui koperasi

Angkasa cungkil bakat usahawan muda melalui koperasi

KUALA LUMPUR,. Dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai negara keusahawanan tulen menjelang 2030, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) terus memainkan peranan memperkasa aktiviti koperasi di negara ini, sejak daripada usia muda.

Ini kerana pertumbuhan koperasi telah diiktiraf sebagai antara penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan perolehan koperasi negara meningkat daripada RM34 bilion pada 2014 kepada RM40.3 bilion pada 2018.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata tumpuan kini diberikan kepada pembangunan koperasi sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berpotensi besar dalam melahirkan generasi usahawan muda, selari dengan hasrat koperasi dunia untuk meningkatkan keusahawanan belia.

Jelasnya sejak 50 tahun yang lepas, Angkasa terus mencungkil dan mengasah bakat keusahawanan muda bermula dengan hanya sembilan koperasi sekolah pada 1968, dan kini terdapat 2,433 koperasi sekolah beroperasi dengan keanggotaan 1.6 juta orang.

Selain itu terdapat 454 koperasi kumpulan belia daripada universiti awam dan swasta, matrikulasi, politeknik, institut kemahiran dan kolej yang memberi manfaat kepada 259,585 anggotanya.

“Koperasi sekolah dan IPT ini sama tarafnya dengan koperasi biasa, cuma yang membezakannya adalah berkaitan matlamat untuk memberi pendidikan dan latihan koperasi kepada pelajar di mana mereka diberi tanggungjawab menguruskan sendiri perniagaan koperasi sekolah atau IPT.

“Pelajar juga didedahkan dengan perakaunan koperasi sekolah secara praktikal dan diasah untuk menjadi pemimpin yang beretika dan beramanah kerana mendapat kepercayaan penuh menguruskan wang perniagaan dan menyerahkan kepada guru koperasi untuk direkodkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain memberi faedah dan pulangan kepada warga sekolah, koperasi yang diwujudkan juga menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas pelajar dan penduduk setempat, malah pelajar juga mendapat markah kokurikulum melalui penglibatan aktiviti koperasi.

Bimbingan yang diberikan Angkasa kepada golongan muda turut membuahkan hasil apabila perolehan koperasi sekolah telah meningkat daripada RM227 juta pada 2014 kepada RM274 juta pada 2018, manakala aset meningkat daripada RM257 juta pada 2014 kepada RM354 juta pada 2018 melalui aktiviti peruncitan, kafeteria, dobi, taska dan ejen pembayaran bil.

Pencapaian membanggakan turut direkodkan apabila sembilan koperasi sekolah mencapai perolehan melebihi RM1 juta tahun lepas berbanding tujuh koperasi sekolah pada 2018, dan 38 koperasi sekolah menjana pendapatan melebihi RM800,000 bagi 2018.

Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) yakin dengan didikan dan dorongan Angkasa dalam membantu koperasi sekolah menerokai peluang perniagaan baharu, dengan sasaran 50 koperasi sekolah memperoleh pendapatan RM1 juta pada 2025 akan tercapai dengan jayanya.

Bagi pembangunan koperasi IPT, Abdul Fattah berkata Angkasa menggalakkan aktiviti koperasi yang lebih kompetitif dan inovatif bagi memastikan mahasiswa lebih bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan antara lain memperkasa perniagaan dalam talian.

Jelasnya usaha itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan berkebolehpasaran dalam kalangan graduan di negara ini, selain menjadi insan yang berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Melalui koperasi ini, kita mahu menukar graduan universiti daripada pencari kerja kepada graduan yang berkebolehan tinggi, berusaha sendiri, menjadi usahawan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Angkasa dan International Cooperative Alliance (ICA) sedang menganjurkan Global Youth Forum Cooperative Entrepreneurship 2020 (GYF20) sejak Isnin lepas dan berakhir esok (7 Feb), di Kuching, Sarawak.

Seramai 250 orang belia dari 109 negara termasuk Malaysia menyertai forum itu menerusi pelbagai sesi libat urus berbentuk plenari dan bengkel, sumbang saran serta ‘peer training’ bagi meluaskan rangkaian dan jaringan untuk meneroka peluang pekerjaan baharu dan bidang keusahawanan menerusi model koperasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )