Calon-calon Parlimen Tanjung Piai harap pertandingan sihat sepanjang kempen

Calon-calon Parlimen Tanjung Piai harap pertandingan sihat sepanjang kempen

PONTIAN, 2 Nov — Calon-calon yang bertanding untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai berhasrat untuk melakukan sebaik mungkin selain mengharapkan pertandingan yang sihat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang kini sudah pun bermula.

Sebaik sahaja tamat proses penamaan calon kira-kira 11 pagi tadi, kesemua calon dilihat telahpun memulakan “gear pertama” kempen mereka dengan jadual masing-masing sudahpun dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk sidang media, lawatan serta lain-lain lagi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini akan menghadapi calon Barisan Nasional (BN-MCA) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Wendy Subramaniam (Gerakan); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa)) dan dua calon Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM).

Karmaine, 66, berjanji untuk menggunakan platform yang diberikan kepadanya sebaik mungkin untuk mendekati rakyat.

Katanya sebagai calon tempatan, beliau memiliki kelebihan untuk menawan hati masyarakat setempat.

”Saya bersyukur menjadi calon dan akan menggunakan platform ini untuk mendekati rakyat.

“Saya harapkan semua sokongan dari pelbagai pihak termasuk dari pihak bahagian dan jentera,” katanya ketika ditemui media sejurus tamat penamaan calon PRK itu di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Sementara itu, Badhrulhisham, 56, pula menjangkakan saingan sengit namun akan memastikan Berjasa mengamalkan kempen yang sihat.

“Berjasa akan berkempen secara sihat dan menghormati calon lawan sepanjang tempoh berkempen.

“Kita sudah bersedia sejak kekosongan kerusi parlimen ini diwartakan dan akan menggerakkan semua jentera khususnya anak muda untuk berkempen dan kempen di sosial media,” katanya.

Calon Bebas, Ang, 49, pula mengharapkan dapat mewujudkan platform ‘suara ketiga’ dalam PRK tersebut.

“Saya bersikap berkecuali dan saya boleh bekerja dengan mana-mana parti. Saya mahu berkhidmat dengan baik kepada masyarakat. Saya harap penyertaan saya adalah untuk mewujudkan platform untuk suara ketiga (semasa pilihan raya kecil ini),” kata pengasas beberapa pusat tuisyen, yang mengakui bahawa beliau gugup kerana ini adalah penyertaan sulungnya dalam politik.

Seorang lagi calon bebas, Faridah Aryani pula berkata beliau bertanding bagi pihak pengasas Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) Datuk Shamsubahrin Ismail yang diserang penyakit jantung, petang semalam.

Katanya dalam perancangan untuk pilihan raya ini, beliau mahu memperjuangkan isu golongan B40 terutama yang berkaitan pengangkutan e-hailing.

“Kita sekarang ada isu e-hailing. Kalau dulu, BN dan PH berjanji untuk perjuangkan isu itu untuk kita tetapi kita tidak nampak ada jalan penyelesaiannya.

”Jadi kita sebolehnya mahu memahami masalah mereka dan berjuang untuk mereka. Sekurang-kurangnya kita mencuba daripada tiada langsung,” kata wanita berusia 45 tahun itu.

— BERNAMA

PRK P165 Tanjung Piai

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )