Agong zahir pandangan Parlimen boleh bersidang semasa darurat

Agong zahir pandangan Parlimen boleh bersidang semasa darurat

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Jan 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Ahmad Fadil berkata dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka turut mengambil maklum hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tata perlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas serta bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

Menyentuh perkembangan terkini wabak COVID-19, Seri Paduka mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan berkaitan atas usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas daripada wabak ini dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )