Agong nasihat semua pihak amalkan demokrasi bermusyawarah

Agong nasihat semua pihak amalkan demokrasi bermusyawarah

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

Justeru, Seri Paduka menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Menyifatkan kematangan seumpama itu didambakan seluruh rakyat, Al-Sultan Abdullah bertitah perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua Ahli Parlimen agar mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara yang terlalu lama dibelenggu isu kesihatan dan kemurungan ekonomi.

Seri Paduka bertitah sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

“Nasihat beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” titah Seri Paduka.

Bersempena sambutan hari Malaysia yang bakal dirai pada 16 Sept ini, Seri Paduka juga menyeru Ahli Parlimen dan seluruh rakyat untuk menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan persekutuan Malaysia supaya sentiasa mempunyai asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )