
173 laporan isu perpaduan diterima setakat ini
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 173 laporan berkaitan isu perpaduan diterima setakat Mac tahun ini, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran.
Beliau berkata dari jumlah itu, sebanyak 99 laporan diterima pada Januari, diikuti Februari (69) dan Mac (lima), manakala kes tertinggi melibatkan isu keselamatan iaitu 36 kes, agama (30), kenyataan berbaur kebencian (10), politik (lapan) dan isu perkauman (empat).
“Statistik ini memberi gambaran jelas mengenai isu utama sedang dihadapi dalam konteks perpaduan negara, sekali gus membolehkan pihak berkuasa merancang tindakan susulan yang lebih berkesan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata kes melibatkan keharmonian negara tidak kira pihak yang terlibat termasuk berkaitan 3R, perlu ditangani pihak polis.
Menjawab soalan tambahan Datuk Salehuddin Saidin mengenai keberkesanan kementerian dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama, beliau berkata Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) berfungsi sebagai war room untuk mengumpul aduan.
Yuneswaran berkata maklumat diterima PRISMA, kemudiannya disalurkan kepada pihak berkuasa seperti PDRM dan pejabat Peguam Negara, namun kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa secara langsung.
“PRISMA mempunyai beberapa komponen utama: war room untuk operasi strategi, dashboard analitik perpaduan menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi memantau data besar 24 jam, dan sistem maklumat perpaduan e-SEPAKAT, iaitu pejabat daerah Perpaduan menyalurkan maklumat kepada kementerian untuk tindakan lanjut,” katanya.
–BERNAMA

