KBS perhalusi garis panduan bendung keganasan akibat permainan digital

KBS perhalusi garis panduan bendung keganasan akibat permainan digital

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka garis panduan bersama Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan bagi permainan dalam talian sebagai usaha membendung keganasan dalam kalangan golongan muda.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah itu penting susulan terdapat trend unsur keganasan elemen agresif dan ekstrem, yang berpunca daripada interaksi dalam talian ketika bermain permainan video sehingga mempengaruhi pemikiran anak muda.

Selain pengawasan di alam maya, beliau berkata KBS juga melaksanakan pendekatan psikososial berfokus seperti penyaluran emosi terkawal (Projek Dengar Rakan Muda), penganjuran kem intervensi yang merangkumi bengkel motivasi dan simulasi sosial serta menawarkan alternatif yang sihat melalui aktiviti kesukarelawanan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Niran Tan Kran mengenai langkah pencegahan awal kerajaan bagi membendung keganasan belia pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This