
KPM tambah 350 kelas prasekolah tahun ini, perkukuh persiapan pendidikan wajib 2027
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pendidikan (KPM) menambah sebanyak 350 kelas prasekolah baharu di seluruh negara tahun ini, berbanding 150 kelas pada tahun lepas sebagai usaha persiapan rapi mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun bermula pada 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat 12 Februari lepas, sebanyak 10,514 kelas prasekolah telah beroperasi di 6,469 institusi di bawah KPM, yang kini meliputi 82 peratus daripada keseluruhan sekolah rendah di seluruh negara.
“Selain pembinaan bilik darjah baharu, KPM turut menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepat penyediaan fasiliti mengikut keperluan setempat bagi menampung peningkatan enrolmen murid,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu mengenai perancangan kerajaan untuk membuka prasekolah di semua sekolah rendah dan menjadikannya sebagai pendidikan wajib bagi semua murid sebagai persediaan ke tahun satu.
Daripada segi kemudahan fizikal menampung keperluan prasekolah dan sekolah rendah ekoran pelaksanaan dasar itu, Wong berkata perluasan itu tidak hanya tertumpu di sekolah rendah, malah turut secara progresif ke sekolah menengah dan institusi KPM lain.
–BERNAMA

