97 peratus veteran ATM yang terima BSH tidak berpencen

97 peratus veteran ATM yang terima BSH tidak berpencen

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 97 peratus atau 8,730 orang daripada 9,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) secara bulanan sebanyak RM300 terdiri daripada veteran yang tidak berpencen.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha untuk mengesan mereka yang terlibat sedang giat dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM terutama di Sabah dan Sarawak untuk memastikan supaya kebajikan serta hal ehwal veteran itu dapat diberi perhatian.

“Masalah yang dihadapi ialah mereka yang dulu-dulu tidak mendaftar dengan JHEV, sebab itu kami galakkan mereka mendaftar dan mohon supaya Persatuan Veteran ATM mencari dan mendaftarkan veteran yang belum berdaftar untuk kita bantu.

“Bagaimanapun, jumlah veteran ATM yang telah mendaftar setakat ini adalah lebih 200,000. Kebanyakan yang tak mendaftar adalah di Sabah dan Sarawak dan ini menghairankan kami,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang ingin tahu sejauh mana pelaksanaan skim BSH kepada veteran ATM yang tidak berpencen khususnya kategori B40.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan sedang mencari satu formula terbaik bagi menyelaras kadar pencen veteran dan bagi tujuan itu, beliau bersama timbalannya akan berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk persatuan (veteran ATM) untuk mencari formula yang menang-menang kepada semua.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut diberitahu sebahagian besar veteran yang tidak berpencen terutama golongan muda lebih gemar untuk mencari pekerjaan yang mempunyai pendapatan tetap atau ‘makan gaji’ berbanding menceburi bidang perniagaan atau menyertai bidang keusahawanan.

Menurutnya, walaupun ATM telah menyediakan satu platfom perniagaan digital yang dinamakan MyVeteranMall selain kursus bagi menyediakan mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang itu, sambutan yang diberikan agak kurang menggalakkan.

“Satu daripada kekangan yang kita kenal pasti ialah modal walaupun sebenarnya ia banyak disediakan agensi kerajaan contohnya TEKUN Nasional. Kalau mereka mendaftar, dapatlah kita menemukan dengan agensi yang boleh memberikan modal permulaan dan menambah modal perniagaan.

“Setakat ini mengikut rekod, hanya 512 orang sahaja mendaftar menerusi aplikasi itu,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu mengapa aplikasi MyVeteranMall tidak mendapat sambutan veteran ATM.

Sehubungan itu, katanya JHEV akan melipatgandakan promosi ini termasuk bekerjasama dengan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mencari peluang bagi veteran ATM memulakan perniagaan selain menyediakan latihan yang sesuai bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )