572 laporan mangsa sindiket tipu kerja di luar negara diterima setakat semalam

572 laporan mangsa sindiket tipu kerja di luar negara diterima setakat semalam

KUALA LUMPUR ,. Kementerian Luar menerima 572 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah ‘job scam’ di luar negara setakat semalam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata laporan itu diterima melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar).

“Daripada jumlah ini, seramai 403 orang telah berjaya diselamatkan dengan 382 orang telah dihantar pulang termasuk lima orang yang berjaya dihantar pulang pada Ahad lepas.

“Baki seramai 21 orang sedang ditahan di depoh tahanan sementara menunggu proses sama manakala 169 lagi masih dikesan,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai langkah yang diambil dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa scam di luar negara terutama di Myanmar.

Mohamad berkata tindakan yang diambil oleh Pejabat Kedutaan Besar di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa negara-negara terlibat untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa warganegara Malaysia serta memberikan bantuan konsular sewajarnya setelah mereka diselamatkan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air.

Menjawab soalan tambahan Aminolhuda berhubung kos yang ditanggung Kementerian Luar untuk membawa pulang mangsa ‘job scam’ dan sama ada kementerian terlibat dalam urusan pembayaran wang tebusan, beliau berkata ia ditanggung pihak keluarga dan waris mangsa.

“Sebarang kos penghantaran pulang, itu sebenarnya tidak diletakkan di bawah tanggungjawab kementerian, tidak ada sebarang kos yang ditanggung. Ini adalah tanggungan sepenuhnya pihak keluarga dan waris.

“Yang keduanya, soal pembayaran balik wang, itu juga sebenarnya tidak terlibat di bawah kementerian atau kerajaan. Ini juga tanggungjawab pihak keluarga dan waris mangsa terlibat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )