548 butiran disenarai sebagai Warisan Tidak Ketara negara

548 butiran disenarai sebagai Warisan Tidak Ketara negara

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN), telah mewartakan sejumlah 548 butiran sebagai ‘Warisan Tidak Ketara’ di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua butiran itu meliputi empat kategori iaitu bahasa dan persuratan; adat dan budaya; seni persembahan dan seni halus.

“MOTAC sentiasa berusaha mengangkat seni dan budaya negara agar dikenali di peringkat global, serta mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

“Antara pengitikrafan yang berjaya diterima, termasuk warisan Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018) dan Silat (2019) di bawah The Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity Unesco,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Lee Tian Sing, yang memohon penjelasan tentang senarai seni dan budaya tempatan yang dikategorikan sebagai ‘Warisan Tidak Ketara’ dan langkah kerajaan mempromosikannya sebagai tarikan pelancongan.

Jelasnya, Malaysia kini dalam proses penilaian untuk menyenaraikan dua lagi warisan tidak ketara iaitu, ‘pantun’ dan ‘upacara wangkang’ di bawah ‘The Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’ di bawah Unesco.

Sementara itu, beliau berkata MOTAC turut mengadakan beberapa program, termasuk Festival Seni Hidup dan Panggung Seni Tradisional, sebagai antara usaha mendedahkan seni budaya negara kepada masyarakat tempatan, selain kepada pelancong.

Bagi promosi di peringkat antarabangsa katanya, usaha dilakukan melalui penyertaan ke pameran antarabangsa seperti ‘World Travel Mart (WTM)’ di London, dan ‘International Tourism Bourse (ITB)’ Berlin, untuk mempertontonkan kepelbagaian dan keunikan kebudayaan rakyat Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )