
2,812 unit rumah keluarga ATM siap, lebih 3,000 lagi dalam pembinaan
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyiapkan enam projek baharu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) melibatkan 2,812 unit di seluruh negara sejak 2022.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain itu, 10 projek RKAT di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) membabitkan 3,206 unit dengan kos RM1.002 bilion sedang giat dibina dan dijangka siap menjelang 2026.
“Seterusnya, lapan projek bina baharu RKAT melibatkan 2,456 unit masih dalam fasa perolehan dan ini melibatkan peruntukan RM1.4 bilion,” katanya menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkenaan status pembinaan perumahan tentera di seluruh negara pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan senggaraan RKAT juga meningkat kepada RM426.5 juta pada 2025, naik 6.62 peratus berbanding RM400 juta (2024) dan RM236.7 juta (2023).
–BERNAMA

