(15 Julai 2020) PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN- Soalan No 7 – MOTAC

PR-1432-L09719
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan apakah perancangan pihak Kementerian untuk kembali meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selepas ianya terjejas teruk akibat wabak COVID-19 dan apakah kesannya terhadap Tahun Melawat Malaysia 2020

JAWAPAN :
Tuan Yang di-Pertua.
1. Bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kuala Krai ini, sekali lagi saya meminta izin untuk menjawab soalan ini bersekali dengan pertanyaan-pertanyaan lisan lain kerana ia juga menyentuh perkara yang sama. Soalan-soalan berkenaan adalah:
(a) pertanyaan oleh Yang Berhormat Arau dan Yang Berhormat Seputeh bertarikh 21 Julai 2020;
(b) pertanyaan oleh Yang Berhormat Tebrau, Yang Berhormat Tanjong serta Yang Berhormat Baling bertarikh 3 Ogos 2020;
(c) pertanyaan oleh Yang Berhormat Tambun bertarikh 6 Ogos 2020;
(d) pertanyaan oleh Yang Berhormat Kalabakan bertarikh12 Ogos 2020;
(e) pertanyaan oleh Yang Berhormat Batang Lupar, Yang Berhormat Hulu Selangor serta Yang Berhormat Sandakan bertarikh 18 Ogos 2020; dan yang terakhir sekali
(f) pertanyaan oleh Yang Berhormat Sarikei bertarikh 27 Ogos 2020.

Tuan Yang di-Pertua,
1. Seperti yang telah saya nyatakan semasa menjawab soalan oleh Yang Berhormat Jerantut sebentar tadi, penularan wabak COVID-19 telah memberi impak negatif yang sangat besar kepada industri
pelancongan negara.

2. Kerajaan sedar bahawa pihak dalam industri ini sedang menghadapi kesukaran yang berat pada saat ini. Justeru, Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah
merancang pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan dalam usaha membantu industri pelancongan dan kebudayaan untuk bangkit semula. Usaha ini merangkumi pelan jangka
pendek, sederhana dan jangka panjang.

3. Setelah menilai pelbagai faktor, Kerajaan telah bersetuju membenarkan sektor pelancongan domestik untuk beroperasi semula bermula pada 10 Jun 2020. Ini membolehkan penggiat industri
pelancongan domestik seperti industri perhotelan, inap desa (homestay) dan pemandu pelancong merancakkan semula aktiviti pelancongan yang terhenti sebelum ini.

4. Bagi membantu industri ini untuk bangkit semula, Kerajaan telah menyediakan insentif dan bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS TAMBAHAN dan
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri pelancongan dan kebudayaan tempatan. Bantuan ini bukan sahaja bagi meneruskan kelangsungan aktiviti sedia ada malah boleh turut digunakan untuk menambahbaik produk industri ini.5. Selain daripada insentif tersebut, MOTAC sendiri juga telah melaksanakan inisiatif-inisiatif khusus bagi membantu stakeholders dalam industri yang terlibat.
Antaranya ialah:

(i) menawarkan kursus Domestic Tourism Vibes secara dalam talian dengan kerjasama Persatuan Institut-institut Latihan Pelancongan Malaysia (ATTIM) dan Malaysian Tourist Guide Council (MTGC);
(ii) pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong bermula 17 Mac hingga 31 Disember 2020;
(iii) pemberian diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40% kepada semua pengusahaan pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun oleh ementerian sebelum 31 Disember 2020.
(iv) pelanjutan tempoh bayaran kompaun sehingga 31 Disember 2020 bagi semua kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat atau pemandu pelancong berlesen;
(v) pengecualian kompaun kepada pengusahaan pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan oleh PKP dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh PKP;
(vi) menyediakan platform e-Kraf Bazaar yang membolehkan usahawan kraf menjalankan aktiviti promosi dan jualan produk secara online. Ini amat membantu khususnya di peringkat awal PKP dilaksanakan; dan
(vii) pelancaraan aplikasi Craft On The Go pada 1 April 2020 bagi menyediakan perkhidmatan secara digital dalam bentuk mobile apps kepada masyarakat bagi meningkatkan kebolehcapaian maklumat mengenai usahawan kraf di seluruh Malaysia.

5. Seterusnya, bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, MOTAC juga telah merangka Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan melalui 5 strategi utama iaitu:
(i) memulihkan kembali keyakinan orang awam untuk kembali melancong melalui Kempen Malaysia Bersih dan Selamat. Malaysia menjadi perhatian dan mendapat pujian masyarakat antarabangsa dalam menangani penularan wabak COVID-19. Melalui penyediaan SOP dalam pelbagai aktiviti, pelancong dari dalam dan luar negara boleh yakin dan tidak perlu berasa khuatir untuk melancong di dalam
Malaysia;
(ii) merancakkan semula pelancongan domestik. Meskipun sempadan negara masih belum dibuka, perjalanan rentas negeri di dalam negara telah pun dibenarkan. MOTAC yakin bahawa pelancongan domestik mampu menjadi pemangkin untuk membantu industri ini bangkit semula dan memainkan peranan penting menyumbang kepada fasa pemulihan ekonomi negara ini;
(iii) meneroka potensi ketibaan pelancong asing dari pasaran jarak dekat seperti negara ASEAN terutamanya melalui pelancongan rentas sempadan atau cross border tourism seperti mengadakan gelembung perjalanan atau travel bubble dengan negara-negara jiran atau negaranegara zon hijau yang telah dikenalpasti hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri
dan Kementerian Luar Negeri;
(iv) memberi keutamaan kepada segmen yang telah dibenarkan oleh Kerajaan seperti pelancongan kesihatan, taman tema dan MICE; dan
(v) memaksimumkan sumber sedia ada melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.

6. Industri pelancongan adalah antara industri pertama yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 ini, dan dijangka menjadi antara industri yang paling akhir akan pulih sepenuhnya. Justeru, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia di luar sana, ayuh kita semarakkan semula pelancongan domestik.

7. Melanconglah di dalam negara, terokai tempat-tempat baru yang belum kita pergi, nikmati juadah-juadah enak dan unik di seluruh negara, selami dan hargai kepelbagaian masyarakat majmuk kita, kenali seni dan gunakan produk kraf seni tempatan. Kita Jaga Kita. Kita boleh bangkit bersama.

Sekian, terima kasih.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )