1,492 kes kecurian, vandalisme terhadap aset infrastrukur komunikasi direkod

1,492 kes kecurian, vandalisme terhadap aset infrastrukur komunikasi direkod

KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi merekodkan 1,492 kes kecurian dan vandalisme terhadap aset infrastrukur komunikasi membabitkan kerugian sebanyak RM33.66 juta pada tahun lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perbuatan vandalisme dan kecurian terhadap aset infrastruktur komunikasi itu merupakan satu cabaran besar kementerian kerana ia boleh mengakibatkan gangguan ke atas perkhidmatan telekomunikasi.

“Ia suatu kerugian kerana nilai untuk repair (baik pulih) begitu tinggi.

“Jadi untuk kawasan hotspot (panas), penyedia perkhidmatan ini akan buat kerja-kerja ‘hardening’ bagi perkasakan aset mereka supaya menjadi lebih susah kepada pencuri atau vandalisme untuk melakukan perbuatan itu,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Dr A. Lingeshwaran yang ingin tahu mengenai statistik kecurian telekomunikasi sehingga kini.

Menurut Teo, usaha pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan sensor merupakan satu daripada inisiatif yang telah diambil pihaknya di kawasan-kawasan hotspot itu.

Sementara itu, Teo memaklumkan kerajaan akan membangunkan tambahan 38 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) baharu di Pulau Pinang daripada keseluruhan 186 Nadi baharu yang akan dibina di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Dengan penambahan Nadi baharu, ia akan menjadikan keseluruhan 1,097 Nadi di seluruh negara dan 41 Nadi di Pulau Pinang, sekali gus mencapai inisiatif satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu Nadi, katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Lingeshwaran yang ingin tahu mengapa Pulau Pinang hanya mempunyai tiga Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) iaitu kedua terendah di Malaysia.

Untuk rekod, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan PEDi dikenali sebagai Nadi berkuat kuasa 1 Mac ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )