Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | November 14, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

UMNO perlu jadi pembangkang berwibawa

UMNO perlu jadi pembangkang berwibawa

Kita labuhkan tirai kisah sedih UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. Ia terlalu perit untuk UMNO mendengar sejarah hitam itu di ulang tayang semula.

Bagai menyaksikan rakaman kamera litar tertutup bagaimana sebuah insiden yang meragut nyawa insan tercinta kita, mampukah kita melihatnya berulang kali? Pastinya tidak.

Kini, episod persoalan siapakah yang akan memacu UMNO baharu juga sudah terjawab. Akar umbi parti sudah membuat pilihan dengan memilih Presiden baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Walaupun terdapat ‘suara sumbang’ sejurus pemilihan, keputusan sudah pun dibuat.

Sebagai rakyat Malaysia, saya antara yang menantikan pelan pembangunan lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Begitu juga sebagai penyokong tegar UMNO yang turut berada dalam sistem pentadbiran parti, saya juga mahu melihat UMNO dipandu mengikut landasan yang lebih kukuh dan bersepadu demi kelangsungan perjuangan parti itu.

Kini, Dewan Rakyat sudah mula bersidang dan ia persidangan pertama dalam sejarah Malaysia yang menyaksikan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) berada di barisan kerusi pembangkang.

Minggu pertama persidangan ini, rakyat dihidangkan dengan pelbagai isu dan kontroversi, daripada hal pelantikan Speaker Dewan Rakyat kepada isu kelulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) oleh Kementerian Pendidikan, dan terkini membabitkan isu paling sensitif bagi rakyat Malaysia iaitu perdebatan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pemerhatian rakyat

Rakyat memerhati dengan serius apa yang berlaku di Dewan Rakyat, terutama membabitkan cara kerajaan melaksanakan tugas, bagaimana BN bertindak sebagai pembangkang dan paling penting proses perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen. Ini antara topik perbualan paling hangat rakyat sekarang.

Persembahan setiap Ahli Parlimen menyuarakan pendapat dan berdebat juga menjadi perhatian. Dari yang penuh berhemah, beradab serta sopan santun sehingga kepada mereka yang menjerit, terpekik terlolong dalam menegakkan hujah dalam perbahasan.

Jika melihat daripada perspektif yang berbeza, kedua-dua pihak baik kerajaan, mahu pun pembangkang, masih kelihatan kekok untuk menjalankan tugas masing-masing. Pembangkang masih baharu dan kerajaan pun masih baharu. Ini kesimpulan yang boleh dibuat buat masa ini.

Saya tidak mahu mengambil kira bagaimana atau berapa lamakah kerajaan perlu mengambil masa untuk melatih diri supaya menzahirkan kepemimpinan sebagai parti kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang.

UMNO perlu sesuaikan diri

Tetapi, apa yang saya ingin lihat ialah bagaimana UMNO sebagai pembangkang mahu menyesuaikan diri dengan laungan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa itu mampu direalisasikan.

Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan lebih baik. PRU sudah berlalu hampir tiga bulan. Masih banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi dengan lebih mendalam. Rakyat kini menilai taraf kepemimpinan kedua-dua pihak.

Apa yang penting bagi rakyat ialah memastikan kelangsungan kepemimpinan kerajaan PH membuktikan bahawa mereka mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berdaya saing.

Kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri seluruh negara, sejujurnya, anda semua perlu menyingkap dengan lebih mendalam dan lebih tertumpu kepada isu yang ingin dibahaskan. Rakyat bukan mahu melihat siapa yang mampu ‘menghentam’ siapa dalam sidang.

Rakyat bukan mahu melihat parti politik mana yang paling bersih atau tidak mengamalkan politik rasuah. Tetapi, rakyat mahu melihat hujah Ahli Dewan yang paling gemilang untuk memastikan taraf kehidupan dan pembangunan yang dirancang adalah seiring.

Jangan hanya berlumba-lumba membina bangunan mencakar langit, sedangkan rakyat hidup bagaikan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Penulis adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO & Ketua Puteri UMNO, Bahagian Jasin, Melaka

Submit a Comment