Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | November 14, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Sifar belanjawan elak pembaziran, hutang besar

Sifar belanjawan elak pembaziran, hutang besar

KUALA LUMPUR,. Dengan tekad mewujudkan Malaysia yang bersih, kerajaan Pakatan Harapan berhati-hati menstruktur semula Belanjawan Negara bagi 2019 berasaskan sifar belanjawan iaitu perbelanjaan dirancang dari sifar untuk mengelak perbelanjaan tidak terkawal hingga mengakibatkan hutang negara yang besar.

Semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pendekatan sifar belanjawan itu dibuat melalui penilaian matlamat peruntukan, dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun lalu, dan semua perbelanjaan yang menurut budi bicara akan dirancang dari sifar.

Beliau berkata meskipun mewarisi kedudukan kewangan membimbangkan dan berdepan cabaran fiskal, sektor kewangan negara masih sihat dan sektor monetori kekal stabil.

Kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion pada tahun depan, katanya.

Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan 2019 dengan peruntukan berjumlah RM314.5 bilion iaitu RM259.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, menggariskan strategi-strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

Lim berkata kerajaan juga akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan untuk mengawal selia proses perolehan kerajaan pada tahun depan manakala Akta Kebertanggungjawaban Fiskal dibentangkan pada 2021.

Menurutnya kerajaan juga bakal mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang untuk menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan termasuk memantau penerbitan hutang oleh kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan syarikat tujuan khas (SPV).

Selain itu, katanya, kerajaan akan mengambil segala tindakan untuk mendapatkan segala dana yang hilang atau dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 30 Okt lepas, kerajaan telah memohon kepada Mahkamah England untuk membatalkan Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui dengan pihak International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan Aabar Investment PJS daripada Abu Dhabi.

“1MDB dan Kerajaan Malaysia tidak akan membayar baki US$4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar dan sebaliknya akan menuntut pemulangan US$1.46 bilion yang telah dibayar, atas alasan penipuan yang berlaku semasa perjanjian tersebut dimuktamadkan,” kata Lim.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi utama bagi membanteras gejala rasuah, turut diberi peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM286.8 juta dengan tambahan 100 kakitangan pada tahun depan dalam menangani rasuah dan pengubahan wang haram serta mendapatkan balik harta rasuah.

Satu aspek menarik yang disebut Menteri Kewangan itu adalah pendekatan bahawa kerajaan tidak harus menceburi diri dalam perniagaan.

“Jelas sekali syarikat-syarikat milik kerajaan bersaing secara langsung dengan syarikat swasta dalam sektor tidak strategik. Ini mengakibatkan fenomena menghimpit sektor swasta atau ‘crowding out’ di mana syarikat swasta tidak mampu berkembang dan bersaing dengan sihat,” kata beliau.

Demi kejayaan ekonomi keusahawanan, katanya, pihak swasta mesti mengambil peranan yang lebih besar dalam menerajui pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan pula akan menumpukan perbelanjaan dan pelaburan dalam sektor strategik di mana pasaran terbuka dan pihak swasta tidak berminat atau tidak dapat memenuhi keperluan rakyat, kata Lim.

Beliau berkata kerajaan tetap meneruskan projek-projek infrastruktur yang mempunyai kesan pengganda ekonomi seperti projek LRT3 dan MRT2 tetapi setelah rundingan dijalankan untuk mengurangkan kos keseluruhan projek.

Lim menyasarkan tempoh tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskal negara tetapi hanya boleh dicapai “selagi kita bersih, berjiwa rakyat dan memberi tumpuan untuk melaksanakan reformasi institusi”.

“Rasa cinta terhadap tanah air akan menyatukan kita dalam menghadapi cabaran masa muka.

“Sunguhpun terdapat perbezaan, rakyat Malaysia adalah istimewa kerana tanpa mengira kaum, agama atau pun latar belakang, kita masih bersedia untuk bekerjasama dan saling mempercayai satu sama lain.

“Malaysia sudah bersih dan kita berbangga bahawa kini Malaysia bersih semula. Kepada mereka yang tersesat di hujung, baliklah ke pangkal jalan,” kata Lim semasa mengakhiri ucapannya selama dua jam 10 minit itu.

— BERNAMA

Submit a Comment