Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | May 19, 2019

Scroll to top

Top

Comment(s)

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 lalui perbahasan lebih enam jam

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 lalui perbahasan lebih enam jam

KUALA LUMPUR,. Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 melalui perbahasan selama lebih enam jam, dengan menerima sokongan dalam kalangan anggota Parlimen selain permintaan menangguhkannya bagi diteliti secara lebih mendalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berkata pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan itu merupakan suatu yang bersejarah dan bermakna kepada rakyat negara ini khususnya Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa hairan kerana terdapat pihak yang mempertikai mengenai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu negeri-negeri Tanah Melayu.

“Perkara (pindaan) ini telah dihujah sekian lama dan kita telah mendengar keluhan dan rintihan rakyat Sabah dan Sarawak. Langkah ini turut mengesahkan apa yang telah disepakati oleh bapa-bapa Kemerdekaan kita pada tahun 1963.

“Saya tidak faham mengapa langkah bermakna ini mahu dipertikai. Ada yang mengatakan langkah ini tidak berkesan tetapi sekurang-kurangnya di bawah PH, perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah mengorak langkah bermakna sedangkan setengah abad berlalu dan BN (Barisan Nasional) tak mengorak langkah pun,” katanya disambut sorakan anggota Dewan Rakyat.

Perdana Menteri ketika membentangkan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan itu merupakan langkah pertama kerajaan PH dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir berkata langkah itu akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu negeri-negeri Tanah Melayu (kini Semenanjung) seperti termaktub dalam MA 63 semasa pembentukan negara ini.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) berkata RUU itu mesti diluluskan anggota Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak kerana ia telah lama dinantikan bagi mengangkat kedudukan kedua-dua negeri itu.

“43 tahun kedudukan Sabah dan Sarawak yang sama rata dengan Semenanjung Malaysia ini dinyahkan oleh kerajaan…ada beberapa usaha yang dilaksanakan kerajaan lalu, dibentuk jawatankuasa khas peringkat kabinet untuk melihat perkara ini.

“Tetapi the best, the closest they can do, kerajaan yang lalu adalah menurunkan kuasa, proses the devolution of powers dan dikatakan ada autonomi yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, tetapi tidak sampai tahap meminda Fasal (2) Perkara 1 seperti yang dilakukan kerajaan sekarang ini,” katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata pindaan perlembagaan itu dibuat secara terburu-buru dan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) menyatakan sokongan terhadap pindaan itu, namun mencadangkan ia ditunda sehingga selesai perundingan Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula mahu perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dipertimbangkan.

“Perkara sepenting ini bukan setiap kali sesi meminda perlembagaan, apa salahnya jika dibawa sembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu,” katanya.

Perdana menteri dijangka menggulung perbahasan berkenaan.

— BERNAMA

Submit a Comment