Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | July 18, 2019

Scroll to top

Top

Comment(s)

Pindaan Akta MKN ditarik balik bagi kajian lanjut – PM Mahathir

Pindaan Akta MKN ditarik balik bagi kajian lanjut – PM Mahathir

KUALA LUMPUR,. Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditarik balik semalam adalah bagi melakukan kajian lanjut berikutan terdapat pelbagai pendapat yang berbeza mengenai undang-undang itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata berikutan itu kajian perlu dilakukan dalam usaha memasukkan beberapa idea tambahan yang telah disampaikan kepada kerajaan.

“Kita dapati banyak pendapat yang berbeza-beza dan undang-undang itu perlu dikaji untuk memasukkan idea-idea yang telah disampaikan kepada kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) MKN (Pindaan) 2019 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan di Dewan Rakyat, ditarik balik, semalam.

Ditanya jangka masa pembentangan semula pindaan akta itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat memberi jaminan bila, namun berharap ia diselesaikan secepat mungkin.

Mengenai usaha memansuhkan Akta Hasutan 1948, Dr Mahathir berkata kerajaan dalam proses menggubal rang undang-undang baharu untuk menggantikan akta berkenaan.

“Pertamanya, kita menarik balik undang-undang ini dahulu. Untuk undang-undang baharu, kita berada dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang,” katanya dan menambah ia akan dilakukan secepat mungkin.

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan juga akan mengkaji kesan tindakan kerajaan negeri Johor yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun.

“Kita perlu kaji sama ada sebab yang diberikan boleh diterima,” katanya berhubung tindakan kerajaan negeri Johor yang dilapor mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehingga pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 diwartakan pada 2021.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan seminar ‘The Amman Message‘ anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang dijadual berlangsung Sabtu ini, ekoran ugutan bom yang diterima daripada seorang pengguna Facebook, Dr Mahathir berkata ugutan itu bukanlah tindakan yang betul.

“Sekiranya mereka mahu mengalu-alukan ajaran Buddha atau Syiah atau apa sahaja, itu hak mereka asalkan mereka tidak menyebarkan ajaran itu di kalangan umat Islam Malaysia yang merupakan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

— BERNAMA

Submit a Comment