Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | July 18, 2019

Scroll to top

Top

Comment(s)

Pesuruhjaya kanak-kanak dilantik selesai isu kebajikan, perlindungan kanak-kanak

Pesuruhjaya kanak-kanak dilantik selesai isu kebajikan, perlindungan kanak-kanak

KUALA LUMPUR,. Kerajaan buat masa ini memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-kanak berbanding cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perlindungan golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat bagi penyelesaian jangka pendek yang lebih praktikal dalam memastikan semua isu berkaitan termasuk kebajikan kanak-kanak dapat dipantau secara lebih baik.

“Meletakkan dan melantik Pesuruhjaya Kanak-kanak dalam struktur sedia ada Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) merupakan langkah menangani isu berkenaan kanak-kanak di negara ini dalam masa terdekat.

“Ini penyelesaian jangka pendek yang lebih praktikal dalam memastikan semua isu berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak dapat dipantau serta memastikan agar agensi atau badan-badan berkaitan memikul tanggungjawab masing-masing,” katanya sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu apakah status penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas di Malaysia yang sebelum ini dikatakan sedang dikaji.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata keputusan tersebut diambil kerana mengambil kira struktur sedia ada Suhakam.

“Walaupun Suhakam untuk hak asasi manusia namun (Pesuruhjaya Kanak-kanak) kita wujudkan khusus untuk tangani isu kanak-kanak. Struktur Pesuruhjaya ini memang di bawah Suhakam tetapi turut akan melaksanakan fungsi khusus melibatkan kanak-kanak sahaja.

“Pesuruhjaya ini akan bertindak sebagai, ‘check and balance’ dalam mengimbangi pengendalian isu kanak-kanak oleh pihak kerajaan, NGO dan organisasi tempatan atau antarabangsa dan akan melaporkan secara berkala serta mengesyorkan kepada Parlimen mengenai isu berkaitan kanak-kanak,” tambahnya.

Dr Wan Azizah berkata keputusan melantik Pesuruhjaya Kanak-kanak itu juga telah mengambil kira amalan terbaik tentang bagaimana mendapatkan cara dalam menangani masalah kanak-kanak seperti dibuat oleh negara-negara berhampiran.

“Sebagai contoh proses penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak di Hong Kong melibatkan masa yang lama iaitu sejak 2006. Mereka adakan Child Right Forum terlebih dahulu, kemudian kerajaan negara itu wujudkan pula jawatankuasa persediaan bagi menjalankan libat urus secara meluas tentang keperluan Suruhanjaya Kanak-kanak.

“Kerajaan sudah meneliti pengalaman negara-negara berkenaan mengenai pelaksanaan fungsi Pesuruhjaya Kanak-kanak sebelum penubuhan suruhanjaya berkenaan pada masa hadapan. Pada masa ini memadai (Pesuruhjaya) diletakkan di bawah Suhakam,” tambahnya.

— BERNAMA

Submit a Comment