Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | November 14, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Peruntukan RM10 juta bantu persiapan penampilan sulung E-Sukan di Sukan Sea 2019

Peruntukan RM10 juta bantu persiapan penampilan sulung E-Sukan di Sukan Sea 2019

KUALA LUMPUR,. Langkah kerajaan memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan 2019 kepada pembangunan E-Sukan memberikan suntikan semangat pada penampilan sulung sukan berkenaan di Sukan SEA Manila 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengumumkan peruntukan itu pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini berkata dana berkenaan akan disalurkan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata dengan bantuan dana yang sebesar itu, sudah pasti Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) dapat merangka persiapan lebih lengkap serta menumpukan aspek pembangunan akar umbi sukan berkenaan.

“Peruntukan RM10 juta E-Sukan membantu ‘mempercepatkan’ pembangunan sukan terbabit dan pada masa yang sama dapat menyediakan pasukan yang kuat bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina yang akan menyenaraikan E-Sukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, Majlis Olimpik Asia (OCA) memaklumkan E-Sukan akan menjadi acara yang menawarkan pingat pada Sukan Asia 2022 di China manakala Paris bakal mempertimbangkan acara itu di Sukan Olimpik 2024.

Sementara itu, Presiden ESM Datuk Latt Shariman Abdullah menyambut baik peruntukkan yang diberikan kerajaan itu dan menyifatkan ia suatu perkembangan positif buat komuniti E-Sukan di negara ini.

“Pemberian dana RM10 juta itu seiring dengan status Malaysia sebagai negara keenam di dunia yang mengiktiraf pemain E-Sukan sebagai atlet.

“ESM bercadang membina sebuah pusat latihan yang lengkap di Lembah Klang bagi atlet E-Sukan negara menjalani latihan dan tidak perlu lagi bergantung kepada pusat latihan swasta yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya.

Permainan E-Sukan seperti Dota 2, Mobile Legends, Counter Strikes, FIFA, PES dan League of Legend dilihat antara permainan yang bakal menjadikan E-Sukan, sukan pilihan untuk negara mendapatkan pingat di Sukan SEA 2019 dan Sukan Asia 2022.

— BERNAMA

Submit a Comment