Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | October 22, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Parlimen tiada kuasa pinda MA63

Parlimen tiada kuasa pinda MA63

KUCHING,. Parlimen Malaysia tidak memiliki kuasa meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia perjanjian antarabangsa yang berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Hazland Abang Hipni berkata, adalah tidak perlu untuk mengambil ketetapan mengenai keperluan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi melaksanakan pindaan MA63.

“Sebaliknya, pendekatan meja bulat boleh diambil dengan penyertaan ketiga-tiga pihak iaitu Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merungkai permasalahan, sekali gus mengembalikan semula keistimewaan kedua-dua wilayah itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menjelaskan Kerajaan Persekutuan juga memerlukan sokongan kuat daripada kedua-dua wilayah itu untuk mentadbir urus negara ini.

“Maka, Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan perlu mendengar dan membawa bersama kedua-dua kerajaan di Kepulauan Borneo ini untuk duduk berbincang mengenai kandungan MA63,” katanya.

Berhubung dengan royalti minyak, beliau menyifatkan permintaan Sarawak dan Sabah yang mahukan royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus lebih berkonsepkan perkongsian pendapatan dalam usaha mempercepatkan pembangunan di kedua-dua wilayah itu.

“Ia seiring dengan kemajuan semasa dikecapi Malaysia ketika ini…sampai bila Sarawak dan Sabah hanya mahu melihat pembangunan pesat di Semenanjung, menggunakan hasil bumi kedua-dua wilayah ini.

“Cukuplah… sudah lebih 55 tahun Sarawak dan Sabah dinafikan hak untuk menerima royalti atau peruntukan daripada hasil minyak bagi membiayai pembangunannya,” katanya.

Katanya, jika usaha itu berjaya dilaksanakan, ia juga satu kemenangan kepada Kerajaan Pusat dalam mengakhiri ‘episod ketidaksamaan dan ketidaksamarataan’ dihadapi Sarawak dan Sabah.

“Dua wilayah ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia ini sangat memerlukan peruntukan yang besar bagi membolehkan kemajuan dapat dibawa ke kawasan pedalaman dan luar bandar yang selama ini dahagakan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Hazland berkata, mengembalikan hak pentadbiran adalah jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan semua permasalahan dasar pembangunan dihadapi ketika ini.

“Pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan tidak akan berlaku pertindihan kuasa sehingga boleh mengakibatkan kecelaruan pentadbiran,” katanya.

Tags

Submit a Comment