Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | October 22, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Nasib SST bergantung keputusan Dewan Negara

Nasib SST bergantung keputusan Dewan Negara

KUALA LUMPUR,. Tanda tanya terhadap ‘nasib’ Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan dan RUU Cukai Perkhidmatan (SST) yang dirancang dilaksanakan kerajaan mulai 1 September ini masih samar walaupun diluluskan Dewan Rakyat pada 7 dan 8 Ogos lalu.

Ia susulan SST perlu melepasi kelulusan di peringkat Dewan Negara sebelum dapat diwartakan sebagai satu akta yang sah bagi membolehkannya dilaksanakan tanpa halangan.

Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa dan mempunyai bilangan Ahli Parlimen majoriti di Dewan Rakyat namun ia berbeza di Dewan Negara memandangkan jumlah Senator Barisan Nasional (BN) jauh lebih ramai iaitu 29 orang.

PH mempunyai enam Senator diikuti tiga dari PAS, GERAKAN dan Gabungan Parti Sarawak atau GPS.

Bakinya masing-masing seorang daripada Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Pasokmomugun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF).

Orang Kurang Upaya, masyarakat Siam, Orang Asli dan HINDRAF masing-masing mempunyai seorang Senator.

Komposisi ini berlaku berikutan lantikan Senator dibuat kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih belum tamat tempoh memandangkan setiap Senator layak memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun.

Oleh sebab itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengingatkan Senator untuk tidak mensabotaj RUU SST apabila dibentangkan dalam sidang Dewan Negara.

Katanya, negara bakal menghadapi masalah kewangan sekiranya SST gagal dilaksanakan seperti dijadualkan pada 1 September ini.

“Jika SST tidak dapat dilaksanakan, kita akan menghadapi masalah kewangan kerana mungkin dari segi fiskal kita tidak dapat lebihan dan ini penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur bahawa ekonomi negara lancar.

“Oleh itu, saya meminta Senator untuk menghormati proses demokrasi dan menyokong serta meluluskan rang undang-undang ini apabila dibentangkan di Dewan Negara,” katanya minggu lalu.

GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015, dimansuhkan sidang Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu dan akan digantikan dengan SST pada kadar enam dan 10 peratus.

Sementara itu, Aturan Mesyuarat Dewan Negara menunjukkan RUU SST berada di senarai teratas perbahasan dan akan dibahaskan pada dua hari pertama sidang Dewan Negara berlangsung iaitu esok dan 27 Ogos ini.

Dewan Negara dijadualkan membentangkan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada 28 sehingga 30 Ogos, disusuli sesi perbahasan pada 3 September dan jawapan menteri untuk tiga hari berikutnya.

Hari terakhir sidang Dewan Negara pada 12 September dijadualkan untuk mempertimbang RUU berkaitan dan urusan kerajaan.

Bermakna, Dewan Negara bakal memecah tradisi apabila membahaskan RUU kerajaan pada sidang pertama esok dengan RUU SST dan RUU memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berada pada senarai teratas perbahasan.

Ia dilihat bertentangan dengan amalan biasa pembukaan sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang lazimnya membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama beberapa hari ketika awal sidang dewan.

RUU yang akan dibentangkan menurut turutan ialah RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU GST (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

RUU lain yang akan dibahaskan ialah, Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, RUU Anti-Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, RUU Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pembubaran) 2018, dan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018.

Usul terakhir dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Negara ialah usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Submit a Comment