Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | July 17, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan

Mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini sempat berpantun ketika berucap bagi menangguhkan persidangan sehingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Buah rambutan buah pulasan

Dimakan bersama buah berangan

Ada harapan ada barisan

Selamat bertanding dalam kemenangan

Pandikar turut mengucapkan tahniah dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai kerajaan dan Parlimen Malaysia, wakil media massa serta semua pihak yang terbabit sepanjang tempoh persidangan dari 2013 sehingga hari ini.

“Saya ingin mengucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat selamat pulang, selamat berkempen dan selamat bertanding demi untuk kepentingan rakyat semua,” katanya yang seterusnya menangguhkan majlis itu dengan lafaz mulia basmalah.

“Mesyuarat dewan hari ini ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan. Terima kasih,” katanya, yang turut mendapat ucapan terima kasih daripada ahli dewan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berucap bagi pihak kerajaan merakamkan penghargaan atas sumbangan amat profesional Yang Dipertua Dewan Rakyat itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan Parlimen, ketua pembangkang dan pihak di sebelah sana keseluruhannya.

“Biarpun kita berbeda pendapat tetapi di luar dewan kita tetap sahabat,” katanya, sambil menekankan peri pentingnya adab dalam menangani perbedaan pendapat apatah lagi persidangan itu turut diperhatikan rakyat.

“Rakyat melihat cara persembahan kita, gelagat kita dan saya harap jika ada kesilapan tatacara sama ada sebelah sini atau sebelah sana, di Parlimen ke-14 nanti kita akan perbaiki dengan lebih baik ‘bil hikmah wa bilhasanah’, dengan cara kebijaksanaan dan ketatasusilaan.

“Saya harap terjemahan makna demokrasi di negara kita, kita akan lakukan dengan sebaik-baiknya sama ada di dalam atau di luar dewan,” katanya.

Beliau juga berkata, Barisan Nasional (BN) akan menerima kemenangan atau kekalahan pada pilihan raya umum ini.

“Saya harap yang menang tidak jadi arang, yang kalah tidak jadi abu. Dan yang menang jangan menekan yang kalah, yang kalah mesti mengiktiraf yang menang.

“Dan insya-Allah walaupun sebelah sana yakin mereka menang dan kami lebih yakin. Dengan mandat yang lebih besar kita akan melakukan sesuatu yang lebih baik. Kami akan melakukan yang terbaik untuk rakyat keseluruhannya,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang berucap bagi pihak pembangkang turut memberikan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam persidangan itu.

“Penghargaan kepada semua sebelah sini dan sebelah sana dan bagaimana kita boleh merancakkan demokrasi ini tetapi mestilah dengan adanya keadilan.

“Jangan kita lupa sebagai wakil rakyat, apa yang kita pegang adalah mandat untuk melakukan yang terbaik. Terima kasih juga kepada pegawai yang telah mendukung institusi Parlimen ini dan Parlimen ini boleh berjalan lancar,” katanya.

Submit a Comment