Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | December 13, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Malaysia usaha pastikan penyelesaian isu Rohingya, Syria dan Palestin

Malaysia usaha pastikan penyelesaian isu Rohingya, Syria dan Palestin

KUALA LUMPUR,. Malaysia terus berusaha memastikan penyelesaian berkenaan isu etnik Rohingya, Syria dan Palestin meskipun percaturan politik antarabangsa menghalang tindakan konkrit diambil, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut beliau, di peringkat antarabangsa, Malaysia terus mengetengahkan isu Rohingya terutamanya dalam kerangka ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Antara penyelesaian yang diketengahkan (Malaysia) melibatkan pemberian status kewarganegaraan Myanmar kepada etnik Rohingya, penghantaran pulang etnik Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar serta jaminan semua bentuk penindasan dan kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya dihentikan dan individu yang melanggar hak asasi manusia itu diadili mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang ingin tahu hala tuju dan peranan berterusan yang akan dimainkan oleh Malaysia berkaitan usaha penyelesaian kemelut konflik serantau dan antarabangsa terutama isu Rohingya, Syria dan Palestin.

Mengenai situasi di Syria pula, Saifuddin berkata konflik di negara berkenaan yang bermula pada 2011 dan kini berkembang menjadi krisis bersenjata yang memberi ancaman serius kepada kestabilan serantau dan antarabangsa.

Malaysia berpendapat bahawa usaha perdamaian antara semua pihak yang terlibat di Syria boleh dicapai melalui konsep kesederhanaan, wasatiyyah serta sikap bertolak-ansur antara semua pihak demi kebaikan rakyat Syria keseluruhannya, kata beliau.

Beliau berkata Malaysia juga menggesa pihak yang bertelagah di Syria untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk menyediakan laluan bantuan kemanusiaan yang tidak terbatas, dan melindungi infrastruktur awam dan orang-orang awam termasuk kanak-kanak, konvoi misi kemanusiaan, sekolah dan hospital.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Malaysia merupakan antara suara lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan sentiasa memberi sokongan padu dalam setiap perjuangan mereka sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Beliau berkata usaha terkini Malaysia di peringkat antarabangsa adalah semasa Mesyuarat Jawatankuasa Enam OIC Mengenai Palestin yang telah diadakan pada 26 Sept lalu pada Perhimpunan Agung PBB yang ke-73.

“Malaysia mengutuk semua tindakan rejim Israel yang menghalang segala usaha untuk mencapai keamanan melalui penyelesaian dua negara serta menggesa negara-negara anggota OIC untuk mengutuk tindakan kejam Israel dan bersama-sama mempertahankan hak asasi rakyat Palestin dan kedaulatan Baitulmaqdis.

“Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Terbuka OIC untuk membincangkan keputusan Sidang Kemuncak Tergempar kali keenam dan ketujuh telah diadakan pada 26 Sept lalu pada Perhimpunan Agung PBB dan telah bersetuju agar negara-negara anggota OIC mengenakan tekanan berterusan kepada Israel sebagai tanda sokongan kepada Palestin dan memaksa Israel untuk menghentikan pencabulan undang-undang antarabangsa dan kekejaman di Palestin,” katanya.

— BERNAMA

Submit a Comment