Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | October 22, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

JRPR letak bawah Parlimen

JRPR letak bawah Parlimen

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (JRPR) digesa diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, selari janji ke-16 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dirangka ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menerusi kenyataan bersama, Ahli Parlimen penyokong kerajaan PH, berkata JRPR berupaya dimasukkan sebagai sebuah daripada institusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

“Kebanyakan reformasi penting dicadangkan semasa laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya 2012, yang mengandungi cadangan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat.

“Sebahagian daripada cadangan ini termasuk dalam janji 17 manifesto PH iaitu ‘menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya’ seperti membersihkan daftar pemilih, memperbaiki sistem undi pos dan menyediakan sekurang-kurangnya 21 hari untuk masa berkempen.

“Beberapa cadangan reformasi pilihan raya ini memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, termasuk usaha mengubah had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, manakala inisiatif lain mencakupi pendaftaran pengundi secara automatik atau memudahkan proses membuang undi terutama untuk penduduk Sabah dan Sarawak yang tinggal, bekerja mahu pun belajar di Semenanjung.

“Ia adalah isu prosedur yang boleh diputuskan tanpa membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Pada 16 Ogos lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan menubuhkan JRPR yang dipengerusikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, selain diberikan tempoh dua tahun untuk melengkapkan tugasan mereka dalam mengemukakan cadangan dan laporan berkaitan.

Mengulas lanjut, enam Ahli Parlimen daripada kerajaan itu turut menyatakan bahawa isu kritikal dan yang tepat pada masanya boleh dilaksanakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen secara segera, tanpa perlu menunggu selama dua tahun.

“Maka, daripada menubuhkan JRPR yang berada di luar kuasa Parlimen seperti yang dicadangkan, kami mendesak untuk penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung reformasi pilihan raya.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah sebuah badan pilihan khas tetap di mana SPR akan melaporkan diri, manakala semua keberkesanan dasar, perbelanjaan dan pentadbiran badan ini dapat diteliti.

“Cadangan ini adalah selari semangat dan kandungan manifesto PRU-14 PH,” katanya.

Submit a Comment