Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | October 22, 2018

Scroll to top

Top

Comment(s)

Dr Mahathir, Anwar dan Muhyiddin penghalang UEC

Dr Mahathir, Anwar dan Muhyiddin penghalang UEC

KUALA LUMPUR,. Seorang Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, mendakwa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berdepan laluan sukar untuk diiktiraf kerana perlu berdepan halangan tiga pemimpin besar Pakatan Harapan (PH).

Tiga pemimpin itu, menurut Lian Ker, adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjadikan sejarah ketiga-tiga pemimpin terbabit ketika menjadi kerajaan sebelum ini yang tidak pernah bersetuju dengan sebarang usaha untuk membolehkan UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.

“DAP berjanji UEC akan diiktiraf sebaik saja Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih kuasa Putrajaya. Pernah saya mengingatkan dan menegur ahli Parlimen Kulai (Teo Nie Ching) sebelum menjadi Timbalan Menteri Pendidikan supaya jangan sewenang-wenangnya berjanji kosong mengenai pengiktirafan UEC sekiranya DAP berkuasa nanti.

“Saya menasihati Yang Berhormat supaya mendapat persetujuan Perdana Menteri, Anwar dan Ahli Parlimen Pagoh yang menjadi penghalang pengiktirafan sijil UEC selama pemerintahan mereka.

“Kalau sebelum ini Barisan Nasional (BN) tidak meluluskan pengiktirafan UEC, ia adalah kerana kita mempunyai halangan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Anwar dan Ahli Parlimen Pagoh,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mahu mengiktiraf UEC seperti yang terkandung dalam manifesto PH dan ia menimbulkan polemik apabila banyak pihak membantah kerana menganggapnya bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.

Lian Ker turut berkata, Ahli Parlimen Kulai perlu menyedari kerajaan hari ini berjanji akan mengiktiraf UEC sebaik saja mereka berkuasa.

“Apa lagi hendak berdalih, bukankah BN dan PH berjanji dalam manifesto mereka yang sijil UEC akan diiktiraf, maka itu bukan satu masalah kerana dua pihak mempunyai kata sepakat.

“Mengapa kita beranggapan akan berlaku pergaduhan kaum sedangkan PH mengatakan UEC diiktiraf di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor. Adakah ini alasan untuk melengahkan pengiktirafan sijil UEC,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lian Ker mendakwa, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian antara RM25 hingga RM30 bilion dalam bentuk pampasan, rombakan dan pemulihan kawasan jika membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Katanya, kerajaan perlu menumpukan usaha mencari jalan penyelesaian berbanding membatalkannya.

“Kalau kita menumpu kepada penyelesaian fasa pertama ECRL yang membabitkan 600 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu, ia cuma memerlukan anggaran perbelanjaan RM46 bilion saja.

“Kalau kita menggunakan diplomasi G2G (kerajaan dengan kerajaan) untuk mengurangkan kos projek kepada RM35 bilion atau sebagainya, kita masih lagi boleh meneruskan ECRL fasa pertama dengan kos perbelanjaan yang dapat dikurangkan.

“Alternatifnya, kita harus meneruskan ECRL dari Pelabuhan Klang hingga ke Kuantan atau Kemaman untuk pengangkutan kargo saja,” katanya.

Sementara itu, di akhir perbahasannya, Lian Ker membaca puisi yang menarik perhatian ahli dewan.

‘Manifesto bukan lagi satu janji

Janji pada rakyat boleh dimungkiri

Dua tahun lagi Anwar jadi Perdana Menteri

Atau adakah Anwar akan ditipu lagi

Mengimbas kenangan tahun 1990-an

Apabila Anwar dipecat jawatan

Negara dilanda rusuhan jalanan

Harapan rakyat negara ini terus aman.’

Submit a Comment