Image Image Image Image Image Image Image Image Image Image

Parliament News | January 21, 2019

Scroll to top

Top

Comment(s)

Balas pantun, bermaafan akhiri sidang Dewan Rakyat

Balas pantun, bermaafan akhiri sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Penghujung hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Rakyat hari ini ceria apabila beberapa ahli Parlimen dan Speaker berbalas pantun selain saling bermaafan

Walaupun persidangan selama 30 hari bermula 15 Oktober lalu dipenuhi pelbagai pengisian – daripada diskusi serius, lawak jenaka dan sesekali bertegang urat – ucapan penangguhan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, ternyata menyentuh rasa sambil diselangi beberapa rangkap pantun.

Ia dimulakan dengan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen atas kerjasama yang membolehkan persidangan Dewan Rakyat berlangsung dengan sempurna.

“Setinggi-tinggi terima kasih, tahniah kepada Yang Berhormat, penghargaan kepada pegawai kerajaan dan Parlimen, wakil media massa serta semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pengendalian urusan majlis mesyuarat sepanjang tempoh Dewan ini bersidang.

“Kepada yang beragama Kristian, diucapkan selamat menyambut Hari Krismas pada 25 Disember ini.

“Selamat menyambut tahun baharu dan selamat maju jaya kepada pasukan bola sepak kebangsaan,” katanya sambil merujuk kepada pasukan Harimau Malaya yang turun menentang Vietnam pada perlawanan pertama final Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Mohamad Ariff menggamatkan suasana apabila secara khusus tujukan serangkap pantun kepada M Karupaiya (PH PKR-Padang Serai), sebagai ‘membalas’ apa yang kerap dilakukan Ahli Parlimen itu sepanjang persidangan.

“Bintang barat terbit petang, bintang timur terbit pagi; jika tidak melarat panjang, penggal depan bertemu lagi. Betul ke?” katanya sambil disambut dengan tawa Ahli Parlimen lain.

Pantun itu secara spontan dibalas oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH PKR-Ledang).

“Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang; dua tiga boleh ku cari, mana nak sama tuan Speaker seorang,” katanya.

Selesai sesi berbalas pantun itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN UMNO-Arau) secara spontan mencelah dan bertanya: “Speaker, tiada bermaaf-maafan ke?”

Mohamad Ariff ketawa mendengar celahan itu sebelum berkata: “Boleh juga… kita bermaaf-maafan. Saya minta maaf kalau ada kesilapan, kekurangan tutur kata dengan Ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih.”

Submit a Comment