Seri Paduka yang tiba tepat pukul 10 pagi bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Yang turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa kawalan perbarisan terdiri daripada tiga pegawai dan 24 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharom.

Selepas itu, Seri Paduka menerima sembah hormat dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Leftenan Nor Azizan Yahya.

Serentak dengan itu, sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan sebagai simbolik penghormatan terhadap Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE